oleh: zizi hashim
Apabila dendam, rahsia dan kegelapan bersatu, apa lagi yang tinggal untuk kekal bahagia? Carigali jawapan persoalan ini dalam filem 'PAPA' yang bakal mengungkap kebenaran di sebalik keharmonian. Di sebalik gambaran sebuah keluarga yang bahagia, tersembunyi rahsia gelap yang mengancam untuk menghancurkan segala-galanya. 'PAPA' membawa penonton meneroka ruang antara dendam dan kasih sayang, di mana kebenaran yang terpendam akhirnya perlu dihadapi. Apa yang kelihatan harmoni di permukaan mungkin menyembunyikan keretakan yang dalam. Filem suspense thriller produksi Madness Film ini mengupas lapisan demi lapisan kehidupan sebuah keluarga, membongkar rahsia-rahsia yang telah lama cuba dilupakan.
Sebuah karya penuh misteri dan teka teki arahan sutradara ZH Emdee benar-benar menguji naluri dan emosi setiap yang menonton dengan jumpscares yang menjadi sehingga babak akhir yang membuat penonton tidak senang duduk. Saya akui nuansa seram begitu dirasai pada babak Lisa (Puteri Balqish) kerasukan, aksi merangkak dari belakang sebelum menerkam begitu creepy dan meremang bulu roma. Sama juga halnya pada babak Lisa tiba-tiba merangkak keluar dari bilik secara 'terbalik' yang menimbulkan rasa seram disebalik teka-teki penuh kesamaran yang bermain di fikiran sejak awal filem.
Bila dendam mula mengambil tempat dalam hati, ia perlahan-lahan menggerogoti ikatan kekeluargaan yang paling kukuh. 'PAPA' memberi edukasi dan pengajaran tentang bagaimana perasaan ini boleh mengubah seseorang yang paling disayangi menjadi orang asing. Setiap watak dalam filem ini berhadapan dengan kegelapan mereka sendiri - rahsia yang cuba disembunyikan, dendam yang cuba dipendam, dan kebenaran yang terlalu menyakitkan untuk diakui. Di tengah-tengah konflik dan rahsia, masih wujud pencarian untuk kebahagiaan yang tulen. Namun persoalannya - adakah masih ada ruang untuk bahagia bila dendam telah mengambil alih?
Sebelum pergi jauh, sinopsis filem ini mengisahkan tentang Harris (Hasnul Rahmat), seorang bapa membawa anak perempuannya Lisa untuk berkhemah di hutan yang diharap dapat mengeratkan hubungan mereka. Di sebalik rimbunan hijau hutan yang sepatutnya mengeratkan kasih bonding bapa dan anak, tersembunyi tragedi yang bakal mengubah kehidupan sebuah keluarga selamanya. Niat murni sang bapa itu telah berakhir dengan tragedi apabila Lisa hampir menjadi mangsa rogol.
Naluri seorang bapa mendorong Harris melakukan pembunuhan untuk menyelamatkan anaknya. Tindakan ini, walaupun bermotif mulia, membongkar rahsia gelap yang telah lama terpendam. Terbunuhnya anak seorang ketua ajaran ilmu hitam, Salleh (Shahronizam Md Noor) yang kini menuntut bela mengakibatkan Lisa menjadi sasaran gangguan mistik, membawa kepada rentetan peristiwa yang semakin mengerikan, melemparkan keluarga ini ke dalam pusaran kegelapan yang tidak pernah mereka sangka. Perkhemahan yang bermula dengan senyuman dan tawa ini tidak pernah diduga akan berakhir dengan tragedi yang menghantui.
Lisa mula diganggu oleh perkara-perkara mistik yang tidak dapat dijelaskan. Bayangan-bayangan gelap mengikutinya, bisikan-bisikan menakutkan menghantui malamnya. Harris, dalam usaha menyelamatkan anaknya, terpaksa berhadapan dengan dosa masa lalunya - satu rahsia yang telah lama cuba dipendam tetapi kini bangkit menuntut bayaran. Dalam keadaan terdesak menyelamatkan Lisa, Harris menghilang tanpa jejak, meninggalkan keluarganya dalam keadaan huru-hara. Rihanna (Lia Natalia), yang mulai berputus asa kerana terpaksa berhadapan dengan realiti kehilangan suami, membuat keputusan yang mengubah segalanya. Dia mencari bantuan dari pengamal ilmu hitam, membuat perjanjian yang dia sendiri tidak faham sepenuhnya. Keputusan ini membawa kepada kepulangan Harris tetapi dengan harga yang belum dia ketahui.
Beberapa minggu yang menyeksa berlalu sebelum Harris muncul kembali. Namun, sesuatu tentang dirinya telah berubah secara drastik. Gerak-gerinya yang pelik, tatapan mata yang kosong, dan perubahan tingkah laku yang ketara membangkitkan tanda tanya yang sangat mencurigakan. Rihanna mula mempersoalkan, adakah ini benar-benar suaminya yang pulang? Perlahan-lahan, kebenaran mula terbongkar. Perjanjian Rihanna dengan pengamal ilmu hitam membawa pulang Harris, tetapi mungkin bukan Harris yang mereka kenali. Setiap hari membawa petunjuk baharu bahawa sesuatu yang sangat salah telah berlaku, sesuatu yang mungkin tidak dapat diperbaiki.
Tidak mahu spoiler, sejujurnya saya merasakan ada yang tidak kena dengan perjalanan plot cerita pada filem ini. Saya membuat tekaan sendiri filem ini telah terpaksa menghadapi banyak potongan dari Lembaga Penapisan Filem sehingga merosakkan pemahaman terhadap fokus filem ini yang membuatkan saya dan hampir kebanyakan penonton kecewa, tak kurang juga yang marah kerana kekeliruan yang terpaksa ditanggung akibat potongan tersebut.
Ada watak yang dirasakan begitu sayang habis begitu sahaja dan tidak diperkembangkan seperti watak Ustaz Ismail (Amin Idris) dan Dali, anak kepada Salleh (Aniq Durar) yang saya rasakan berpotensi jika digarap dengan lebih kemas. Maaf cakap, filem ini seperti tergesa-gesa dan melepaskan batuk ditangga. Tahap keseraman sudah pada tahap baik, namun halatuju entah ke mana arah sekaligus menjadi faktor utama yang menggagalkan keseluruhan jalan cerita dan meninggalkan impak yang tidak sepatutnya dirasai pada sebuah filem yang dibintangi barisan pelakon-pelakon hebat. Sayang seribu kali sayang!
Apapun, anda patut tonton dan nilaikan sendiri dari perspektif anda yang mungkin tidak sama dengan saya. Melihat dari trailer filem ini sudah sangat berjaya memancing penonton datang beramai-ramai memenuhi pawagam. Lakonan hebat barisan pelakon seperti Hasnul Rahmat, Puteri Balqish, Lia Natalia, Aniq Durar, Sahronizam Md Noor dan Amin Idris boleh ditonton di pawagam seluruh Malaysia bermula dari 2 Januari 2025.