Kahar: Kapla High Council Padat Koreografi Aksi Intens, Ajak Cegah Buli

oleh: zizi hashim

Susulan dari kejayaan besar siri fenomena Project: High Council (PHC) yang sukses membuat ramai penonton jatuh cinta kepada beberapa karektor dalam siri tersebut, membawa kepada permintaan tinggi yang mahukan 'lebih' lagi dari karektor utama. Berkat penampilan cemerlang dari karektor Kahar lakonan Amir Ahnaf dan jalan cerita menarik serta emosional, maka tercetuslah idea untuk membikin filem Kahar: Kapla High Council (KKHC) yang akhirnya telah menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula dari 28 November 2024. Kisah prekuel menceritakan bagaimana Kahar terpilih menjadi Kapla, samseng yang dibenci tetapi juga meraih rasa simpati dalam masa yang sama.

Saya akui tidak pernah menonton mahupun mengikuti siri kegemaran ramai itu, tetapi saya tahu dan sedia maklum bahawa filem ini menghubungkan masa lalu dengan masakini dalam hidup seorang Kahar yang memberikan penonton gambaran konteks dan impak dari apa yang terjadi di akhir siri. Meski KKHC banyak berkisar tentang topik keganasan dan buli yang secara realitinya benar-benar berlaku di alam persekolahan menengah (khususnya), saya suka pada tema berlainan dari kebiasaan yang mempamerkan ikatan persahabatan antara remaja, terutamanya lelaki.   

Bermula dari hubungan rollercoaster antara Kahar (Amir Ahnaf) dan Hakeem (Fadhli Masoot), diikuti dengan suka duka ikatan Reza/Beja (Aedy Ashraf) dan Megat (Sky Iskandar), KKHC menggambarkan secara dekat persahabatan yang pastinya hampir sama atau mungkin pernah kita temui berlaku pada zaman persekolahan dahulu. Ketika itu, setiap yang berlaku dari segi tindakan atau keputusan yang dibuat memberi akibat tertentu dan mempengaruhi dinamika persahabatan. Secara peribadi, saya menyukai bonding antara Kahar dan Hakeem, yang setia berpegang teguh antara satu sama lain pada setiap detik suka mahupun duka, terutama sekali ketika berhadapan masa sukar.

Sedikit sayang apabila tidak banyak konteks mengenai hubungan rapat Beja dan Megat dipaparkan, bagaimana sahabat baik bertukar menjadi musuh, namun dinamika yang menarik antara keduanya dapat terlihat jelas, penuh rasa kebencian namun tetap menghormati masa lalu, meski itulah punca hubungan persahabatan mereka terputus. Kalau menurut saya, KKHC bukan sekadar prekuel; filem ini menyelami dunia brutal dan kacau bilau yang membentuk salah satu karektor paling ikonik dalam Project High Council. Filem ini raw, padat aksi fight bertubi-tubi dan penuh intens, menawarkan pengalaman sinematik mendalam yang mendebarkan sekaligus menghantui.

Seawal babak pembukaan, penonton didorong ke dunia yang ditakrifkan oleh keganasan, kelangsungan hidup dan kod penghormatan yang tak terungkap. Adegan pergaduhan dalam filem ini adalah masterclass dalam koreografi dan rekabentuk bunyi. Setiap pukulan mendarat dengan kekuatan realistik yang terasa, setiap pukulan berkumandang dengan keaslian autentiknya. Tidak nampak seperti sedang berlakon, tidak dibuat-buat atau dipentaskan, hanya pertempuran raw yang terasa sangat nyata. Bagi peminat filem drama aksi dan drama berisiko tiggi, KKHC menghadirkan beberapa adegan perkelahian terbaik yang pernah dilihat di pawagam Malaysia.

Di tengah-tengah kekacauan itu ada Amir Ahnaf yang memberikan prestasi lakonan cemerlang sebagai Kahar. Dia mewujudkan sepenuhnya kegilaan, rasa sakit, dan keganasan karektor tersebut, memberikan penggambaran yang begitu memikat sehingga mustahil untuk berpaling dari memandang skrin besar itu. Kemampuan Amir untuk beralih antara kemarahan yang mendidih dan kelemahan yang menghantui sungguh briliant. Sama ada melalui matanya yang ekspresif atau fizikal penampilannya, dia menguasai setiap adegan yang dilakonkan. Di samping Amir, ada Aedy Ashraf membawakan kedalaman dan ketegangan pada skrin. Pelakon hebat lain yang membantu mengembangkan karektor dan jalan cerita seperti Sky Iskandar, Khenobu, Thompson Goh, Fazziq Muqris dan Fadhli Masoot, menambah lapisan pada naratif, masing-masing mengukir detik-detik yang tidak dapat dilupakan.

Salah satu babak yang saya rasakan sukar untuk ditonton ialah hubungan janggal dan tidak nyaman antara Kahar dan ayahnya, Dato' Abu Yamin (lakonan Hushairi Husain) yang merupakan alumni di KUDRAT. Membawa kesinambungan pertengkaran bolak-balik antara bapa dan anak ke KKHC, penonton dapat memahami latarbelakang punca hubungan antara keduanya bertukar menjadi begitu buruk. Namun, saya tidak mahu spoiler, sejujurnya konflik hubungan 2 beranak ini mewujudkan alur cerita paling emosional kerana memberi pukulan keras pada klimaks filem, momen dimana Amir Ahnaf mengaku telah membuat dia menangis teresak-esak saat membaca skrip. "Basah skrip sampai ke tangan Amir." ujar sutradara Razaisyam Rashid sambil tertawa kecil mengusik Amir.

Konklusi yang dapat disimpulkan disini ialah, meskipun kita semua ingin menggembirakan ibu bapa dengan mengikut aturan mereka buat kita, seperti yang dipaparkan dalam filem ini, tidak mengikut jalan yang tepat atau tidak semestinya menjadi yang terbaik kerana pada akhirnya kita sendiri bertanggungjawab atas nasib kita. Jika penonton melabelkan aksi pergaduhan dalam siri PHC sebagai kejam dan ganas, tunggu sehingga anda tonton filem Kahar: Kapla High  Council yang menaiktaraf adegan aksi itu ke satu tahap yang lain. Aksi pertarungan tidak henti-henti dan sangat sengit. Koreografi dan rekabentuk bunyi bersatu cemerlang dengan keaslian dan realisma menyakitkan dalam memastikan setiap tendangan dan tumbukan terlihat nyata seperti kejadian sebenar. 

Ada juga babak yang terlalu brutal dan sadis sehingga berdarah-darah, membuatkan penonton dan saya sendiri berharap ianya tidak berlangsung terlalu lama. Sentimen yang cuba disampaikan dari babak tersebut adalah tentang realiti penindasan dan pembulian yang terjadi di sekolah. Apa yang diharapkan dari filem Kahar: Kapla High Council ini dapat digunakan sebagai contoh bagi sekolah untuk mendidik anak-anak bahawa buli dan keganasan tidak boleh diterima serta bukan jalan penyelesaian pada suatu masalah. Saya kagum dengan kejujuran filem ini dan melihat potensi memberi edukasi kepada orang dewasa untuk lebih berhati-hati tentang kemungkinan yang boleh berlaku di sekolah kita.

Performa lakonan Amir Ahnaf wajar diberi pujian kerana cemerlang memberikan transformasi karektor yang berwarna-warni, dari segi ekspresi wajah, tindakan tingkah laku dan penguasaan tuturkata pada tahap luarbiasa hebat. Sementara pelakon lain seperti Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Khenobu, Thompson Goh, Fazziq Muqris dan Fadhli Masoot masing-masing memainkan peranan dengan baik, menambah dinamik pada filem sambil memaparkan momen kenangan mereka di skrin layar lebar. Atmosfera sinematografi dan sudut serta colour grading memberikan nuansa menghantui dan lebih brutal. 

Secara peribadi, saya rasa filem ini boleh dipanjangkan sedikit lebih lama dari durasi 1 jam 42 minit kerana meski Amir tampil luarbiasa sebagai Kahar, saya rasa tidak cukup terhubung dari segi transformasi manusia memberontak yang dibayangkan. Ilham untuk membuat kombinasi prekuel dan sekuel adalah genius dalam memberi pemahaman konteks signifikan kenapa Kahar menjadi seperti itu dan memenuhi ekspektasi penonton pada keseluruhan kisah. Usai tontonan filem, saya begitu tersentuh, selayaknya KKHC mendapat rating markah penuh dari saya, rekomendasi tertinggi untuk anda menonton filem ini dan nilaikan dari perspektif anda sendiri pula.

Dibawah arahan sutradara Razaisyam Rashid, dengan naskhah tulisan bersama Anwari Ashraf, filem ini diproduksi oleh Astro Shaw usahasama dengan GSC, HM Entertainment dan ZAK Capital. Jangan ketinggalan menonton filem hebat Malaysia yang lari dari norma genre kebiasaan, Kahar: Kapla High Council telah mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama ditayangkan. Apa tunggu lagi? Jom tengok wayang...