oleh: zizi hashim
Berangkat dari novel laris karya Colleen Hoover yang terjual lebih 8 juta unit seluruh dunia, 'It Ends With Us' (IEWU) menjadi adaptasi pertama dibuat sebuah filem panjang. Hadir dengan tema yang kuat iaitu tentang penderaan domestik dalam perkahwinan, filem berdurasi 2 jam 10 minit seharusnya cukup untuk mengeksplorasi isu 'abuse relay' dengan lebih mendalam. Cukup menarik bagi saya, filem ini diceritakan dengan alur maju-mundur, di mana alur flashback memberi ruang buat penonton untuk tahu sebab mengapa Lily Bloom menyimpan trauma yang mempengaruhi perkembangan karektornya seiring masa berjalan.
Alur maju-mundur ini membuat rentak IEWU tidak terasa mendatar dan juga mampu membuat penonton merasa terikat dan turut berempati dengan sang karektor utama. Menjadi seorang hopeless romantic, saya suka pada intipati filem yang terhubung cinta. Ada beberapa trigger dalam filem ini yang memaksa saya untuk tidak lupa filem ini datangnya dari sebuah buku. Tidak kesemua elemen imaginasi di dalam buku itu dapat dimuatkan ke dalam bentuk filem. Hanya elemen utama sahaja diberi prioriti, maka tidak hairan kalau ada banyak reviu pro-kontra yang mengutuk dan mengkritik teruk IEWU. Jadi, bagaimana? Adakah adaptasi Blake Lively dan Justin Baldoni do justice pada filem ini?
Kalau tanya saya, IEWU digarap cukup baik dengan sinematografi estetik, set yang indah, dan soundtrack yang diisi dengan melodi lagu-lagu segar membuai jiwa. Usai menonton, langsung serta-merta mencari lagu-lagu seperti "My Tears Ricochet" Taylor Swift dan "Love The Hell Out of You" Lewis Capaldi untuk didengar berulangkali dalam kereta sepanjang perjalanan pulang. Lakonan ketiga-tiga watak utama (Blake Lively, Justin Baldoni, dan Brandon Sklenar) memang ketara solid, untungnya memilih realisma dibandingkan teatrikal yang membuat material seperti ini menjadi artistik. Blake Lively menjadikan Lily Bloom sebagai protagonis yang sangat simpatik, seorang wanita yang berusaha menggapai mimpinya meski memiliki masa kecil traumatis yang menghantui.
Selain itu, penampilan 2 pelakon yang memainkan watak Lily dan Atlas versi muda, iaitu Isabela Ferrer dan Alex Neustaedter juga harus diberi apresiasi. Siapa pun yang memilih Ferrer sebagai Lily versi muda juga melakukan audition yang bagus dan teliti kerana eskpresi wajah dan gaya bicara Ferrer cukup mirip dengan Blake Lively. Jenny Slate dan Hasan Minhaj juga berhasil memainkan peranan dalam membuat IEWU menjadi semakin menyenangkan, bukan sekadar watak tambahan.
Jika dibuat perbandingan antara novel dan filem, sudah tentu akan ada plus minus. Novel yang berdiri sendiri sahaja telah memiliki jutaan pecinta dengan imaginasi cerita yang sekian lama terbentuk. Potret awal introduksi hubungan Lily Bloom dan Ryle Kincaid membangkit teruja meski tanda-tanda amaran sudah ada sejak penampilan pertamanya ketika Ryle menendang kerusi dalam keadaan marah, tetapi sebagai penonton, pada saat itu kita lebih tertarik untuk melihat Ryle dari segi rupa paras kacak, stail dan aura mempesona yang dimilikinya.
Oleh sebab itu, signifikan untuk penonton kekal melihat Ryle sebagai pasangan sempurna dan kemistri antara mereka diselubungi atmosfera intens yang sangat mengesankan. Saya suka pada karektor Lily yang bermain hard to get pada babak Ryle cuba menggoda kerana itulah kepakarannya. Meski hampir cair dan jatuh head over feet, Lily berjaya mencipta nuansa 'jual mahal' dengan prinsip menghormati ketulusan cinta, tidak hanya sekadar berpaksikan ghairah. Lama kelamaan perlahan-lahan keduanya mula jatuh cinta dan mendeklarasikan hubungan lebih dari sekadar kawan. Pada awalnya semua baik-baik sahaja sehinggalah (tidak mahu spoiler) beberapa konflik tercetus.
Namun, realiti yang tidak menyenangkan dari penderaan domestik adalah momen cinta dan kenangan indah. Jika kita memandang remeh, risiko persamaan naratif dengan tanda-tanya "Kenapa dia masih tidak pergi?" Pada satu ketika lain, saya menyukai babak dimana Lily meluahkan isihatinya kepada Alyssa Kincaid, seorang kawan baik yang juga merangkap adik kepada Ryle. Dan nasihat yang dituturkan oleh Alyssa (setelah diterjemahkan) "sebagai seorang adik, aku berharap lebih dari apa pun, agar kau dapat menemukan cara untuk memaafkannya. Tapi sebagai sahabat baikmu, aku harus beritahu jika kau kembali semula kepadanya, aku tidak akan bercakap dengan kau lagi" mencipta getar di lubuk hati.
Saya juga suka parameter jarak yang terwujud antara Ryle dan Atlas Corrigan, kekasih lama Lily yang kehadirannya mencetus konflik cemburu buta di matahati Ryle. Meski tugas lebih berat digalas Baldoni berbanding Sklenar, transisi dari lelaki baik menjadi ganas yang katanya tanpa sengaja, berhasil membuat kita bersimpati pada beban emosional yang dipikulnya. Performa Sklenar pula adalah kombinasi antara 'lelaki yang merindukan cinta lama' dan 'si pelindung', tidak sulit baginya untuk melakonkan watak itu penuh keyakinan. Sklenar cemerlang mencapai keduanya dalam penekanan kasih sayang yang mendasari karektornya atas nama cinta, memberinya martabat tinggi yang membuat ramai cair dan jatuh cinta.
Ada sesuatu terkesan dalam ikatan trauma persahabatan 2 remaja yang bertahan bertahun lamanya. Lebih menyentuh hati apabila dengan begitu setia Atlas membisikkan pada Lily (setelah diterjemahkan) "jika kau jatuh cinta lagi nanti, jatuh cinta lah dengan aku." Sempat bergenang airmata saya dibuatnya, penuh pengharapan saya mengimpikan ada ramai lelaki baik seperti Atlas di luar sana untuk setiap wanita baik yang setia pada pasangan masing-masing. Sebuah jalan cerita sememangnya selalu diingin oleh kebanyakan orang, cerita yang berakhir bahagia. Kerana hal itu kita kerapkali lupa terkadang ada bahaya yang berselindung disebalik topeng bahagia, seandainya terlalu cinta.
Tapi, sisi lain dari pengemasan filmnya menjadi representatif seperti pemindahan imaginasi gaya novel ke audio visual. Terutama kaitannya dengan sinematografi filemnya, tidak juga secara keseluruhan, tetapi cukup banyak framing dari penempatan sudut kamera yang membawa ambience akan itu. Termasuk di dalamnya adegan yang menampilkan footage akan suasana perkotaan, dari gedung hingga taman kota yang memperlihatkan dedaunan berguguran dan berganti dengan yang baru. Sebagai representatif nama dari karakter utamanya, Lily Blossom Bloom. Markah tambah untuk ini dilakukan dengan penambahan soundtrack dan juga scoring filem. Yang membuat gambaran imaginasi seperti membaca novel-nya cukup dirasakan.
'It Ends With Us' merupakan melodrama romantis menarik yang menawan hati saya meski formula cerita mudah diramal dan dirumuskan. Penampilan solid seluruh karektor terutama dari Blake Lively, mengangkat filem ini pada carta rekomendasi tertinggi JIKA anda seorang hopeless romantic seperti saya. Kedai bunga Lily Bloom akan mulai dibuka untuk orang ramai bermula pada 29 Ogos 2024 nanti. Meski awalnya tampak seperti romansa tipikal, 'It Ends With Us' berkembang menjadi filem berani dan kuat yang layak mendapat pengiktirafan lebih, terutama saat saya tersedar ada airmata menitis, yang pastinya airmata gembira untuk seorang Lily Bloom kerana berjaya memutuskan rantai trauma dari terus berpanjangan.