Filem 'Tegkang' Kupas Tema Kasih Sayang, Kebebasan Dan Janji

oleh: zizi hashim

Industri perfileman tanahair boleh dikatakan sudah kebanjiran terlalu banyak naskhah bergenre seram, aksi dan komedi. Jarang-jarang sekali kita melihat filem tempatan yang menonjolkan paparan suatu budaya masyarakat khususnya pada saat ini, di sebalik jalan cerita yang menyentuh perasaan. Justeru hal ini mencetus ilham dan inspirasi kepada syarikat produksi MyContent Distribution Sdn Bhd untuk menghasilkan sebuah filem berjudul 'Tegkang'. Lyn Nasihin selaku Produser Eksekutif memperjelaskan maksud judul 'Tegkang' yang diambil dari dialek bahasa suku kaum Kelabit (dalam masyarakat Sarawak) yang membawa maksud 'Pelangi'.

'Tegkang' mengupas kisah tentang hubungan antara seorang pelancong, Hanafi (Syafie) dengan seorang gadis tempatan iaitu Rinai (Michelle) yang dibesarkan di sebuah kampung di kawasan pedalaman daerah Bario, Sarawak. Bagaimanapun, kehadiran Hanafi ke kampung itu ternyata telah mengubah kehidupan Rinai yang akan mengakibatkan sebuah rahsia lama tersimpan akhirnya terbongkar. Bercerita tentang keistimewaan filem ini, Lyn memberitahu, pihaknya menggunakan 99% pelakon tempatan Kelabit dan penggambaran juga hampir keseluruhannya dilakukan di Bario.

“Idea asal jalan cerita filem ini datangnya daripada sutradara Josh Nawan. Sewaktu sesi perbincangan, dia berkongsi konsep dan jalan cerita yang cukup menambat hati saya. Ia bukanlah sekadar sebuah cerita cinta semata-mata, tetapi turut mengangkat tema tentang kasih sayang, kebebasan dan sikap berpegang pada janji.” ujar Lyn sambil menjelaskan filem berkenaan menampilkan barisan pelakon iaitu Syafie Naswip dan Michelle Lungan yang juga seorang pelakon Kelabit kelahiran Sarawak. “Menariknya tentang 'Tegkang' adalah paparan tentang budaya dan kehidupan masyarakat kaum Kelabit yang jarang diketengahkan dan kurang diketahui masyarakat luar. Ia antara kelainan yang cuba ditampilkan memandangkan masyarakat lebih mengenali Sarawak dengan kisah ‘headhunting’ (pemburu kepala) atau Bujang Senang. Sedangkan Sarawak cukup kaya dengan pelbagai budaya yang menarik serta tempat-tempat yang cukup indah.” tambahnya lagi.

Paling istimewa apabila baru-baru ini 'Tegkang' memenangi Anugerah Juri di Festival Lift-Off yang dihoskan oleh Pinewood Studios UK. Selain itu, filem ini turut dipilih sebagai Filem Penutup Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIFF) 2024. Dan yang terbaharu, 'Tegkang' juga turut menang beberapa kategori seperti Pelakon Wanita Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Filem Cereka Terbaik di acara Borneo Arts And Creative Awards (BACA) 2024 yang berlangsung di Kuching pada September lalu. “Ini merupakan satu penghormatan besar menunjukkan keupayaan filem untuk mendapat tempat dalam kalangan penonton tempatan dan antarabangsa,” ujar Lyn penuh bangga.

Sementara itu, Josh selaku pengarah pula memberitahu idea untuk menghasilkan filem berkenaan tercetus berdasarkan pengalamannya sendiri dibesarkan di kawasan pedalaman. “Sebenarnya, jalan cerita dalam filem 'Tegkang' ini memang ada berkait rapat dengan kisah tentang datuk saudara saya. Memandangkan saya membesar dengannya, jadi saya rasa kisahnya itu sangat menarik untuk diolah menjadi sebuah naskhah filem.” ujarnya mengakui terpaksa berhadapan dengan beberapa cabaran sepanjang penggambaran. Josh menyatakan ia langsung tidak melemahkan semangatnya meskipun untuk menjalani penggambaran di sebuah kawasan pedalaman ternyata bukanlah suatu hal yang mudah.

“Cabaran paling utama adalah dari segi logistik kerana perjalanan untuk ke Bario sahaja mengambil masa selama 15 jam melalui jalan darat dari bandar terdekat. Malah, cuaca pula agak sejuk ketika penggambaran sehingga ada beberapa krew yang jatuh sakit. Apapun kami berasa lega kerana semuanya tetap berjalan dengan lancar.” ujarnya. Sebagai pengarah, Josh meluahkan harapan agar naskhah sulungnya itu akan mendapat tempat di hati penonton. “Sudah tentu saya berharap supaya filem ini mendapat sambutan penonton, termasuk di dalam dan luar negara. “Namun, lebih penting Tegkang mampu menjadi platform untuk orang ramai mengenali lebih dekat tentang Bario dan kaum Kelabit.” ujarnya.

'Tegkang' meneroka kehidupan di sebuah kampung terpencil di Bario, di mana rahsia yang sudah lama tersimpan mula terdedah dengan kehadiran pelancong iaitu Hanafi yang menjalin persahabatan dengan Rinai, seorang gadis yang menetap di kampung berkenaan. Di kampung pedalaman yang damai itu, ada satu rahsia yang tersimpan rapi terbongkar secara tidak sengaja sehingga mencetuskan sebuah kisah cinta yang akan menguji ikatan seluruh komuniti. Antara pelakon lain yang membintangi 'Tegkang' ialah Hezekiah Asim, Pun Ratu Aran dan Lian Tarawe, Filem Tegkang akan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 28 November 2024 ini.