Filem 'Smile 2' Penuh Kengerian Di Sebalik Senyuman

oleh: zizi hashim

Tidak kalah dengan filem pertama, pada jarak pembikinan hanya 2 tahun kemudian, sekuel 'Smile 2' hadir dengan tingkat kekejaman yang lebih besar. Kengerian tidak hanya hadir dari entiti tersenyum yang menghantui, tetapi juga dari cara filem ini menggambarkan rasa takut, putus asa dan tekanan emosional karektor utamanya, seorang bintang pop terkenal bernama Skye Riley (Naomi Scott). Sutradara Parker Finn kembali membentangkan keseraman 'si hantu senyum' yang mengunyah kewarasan. Sudah tentu ada tekanan tersendiri bagi Parker Finn untuk menghadirkan kengerian dengan formula baru yang segar dan tetap memikat.

Visual berdarah-darah dan adegan keganasan disajikan lebih frontal, tidak memberi ruang kepada penonton untuk bernafas. Filem ini membawa emosi ke level yang lebih gelap, memperlihatkan bagaimana Skye berjuang melawan sumpahan yang tidak dapat dijelaskan sambil menjalani kehidupannya sebagai selebriti papan atas. Kalau menurut saya, variasi magnitud dalam tindakbalas emosi intens menjadikan 'Smile 2' lebih seram kerana tidak hanya bergantung pada elemen ghaib, tetapi juga melibatkan trauma psikologi yang dialami oleh Skye.

Di saat Skye bersiap-sedia untuk memulakan siri tour jelajah global, beberapa peristiwa menakutkan dan tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata datang menghantui hidupnya. Tekanan kemasyhuran ditambah pula dengan misteri itu dan ini, membuatkan Skye semakin tertekan, mengancam kelangsungan kerjaya dan kewarasannya. Apabila keadaan semakin memburuk, Skye terpaksa menghadapi masa lalunya yang gelap dan penuh rahsia. Dalam upaya untuk kembali mengendali hidupnya, dia harus membongkar misteri di sebalik penderitaannya sebelum segalanya benar-benar hancur.

Skye tahu bahawa konsertnya kali ini adalah satu pertaruhan. Ibunya (Rosemarie DeWitt) acapkali berulang mengingatkan bahawa ini adalah peluang terakhir Skye. Jika dia tidak dapat beraksi, semua yang dibinanya akan menjadi sia-sia. Skye tahu semua mata tertumpu padanya. Dia juga tahu bahawa sebagai seorang yang sudah dilabel penagih dadah, dia tidak boleh banyak membantah. Malah terpaksa membeli ubat tahan sakit secara sembunyi-sembunyi kerana pinggangnya masih bermasalah. Tetapi apabila Skye pergi menemui rakannya Lewis (Lukas Gage), dia menyaksikan perkara terakhir yang dia mahu lihat: Lewis membunuh diri di hadapan matanya.

Jika 'Smile' pertama berfokus pada trauma seorang pakar psikiatri, 'Smile 2' pula mengambil sudut perspektif yang berbeza dengan mempersembahkan dunia seorang bintang pop yang glamour tetapi penuh tekanan. Skye bukan sahaja berdepan dengan entiti misteri yang terus menghantuinya, malah berdepan dengan pelbagai tuntutan kerjaya dan konflik peribadi. Skye mulai melihat wajah orang asing tersenyum kepadanya. Ini hanyalah awal dari serangkaian mimpi buruk dan ngeri. Namun siapa yang akan percaya dengan racauan mantan penagih kalau pun yang dilihat adalah benar. Kepada siapa harus Skye meminta bantuan?

Filem dengan tagline "It will never let go” yang juga membawa makna “Sumpahan senyuman membawa kematian" adalah manifestasi batas garis realiti yang buat penonton resah gelisah sepanjang durasi 132 minit. Parker Finn tanpa belas kasihan benar-benar tidak memberi ruang langsung untuk penonton bernafas, Kejutan demi kejutan terhambur sejak awal dan terjaga rapi sehingga akhir filem. Memang ada adegan cooling down yang setidak-tidaknya boleh meredakan perasaan cemas, tetapi sangat jarang berlaku. Rentetan rasa seram dan ngeri yang timbul kerana 'senyuman' itu begitu tersusun dan penggarapan skrip di sekuel ini terasa sangat berhati-hati, terutama dalam pemberian kejutan. 

Sang sutradara begitu ketara ingin all out di sekuel dengan bajet yang lebih besar ini agar jadi kseinambungan francais yang epik. Saya dapat rasakan tahap tension yang tinggi setiap kali kekacauan mental terjadi pada mangsa dari makhluk metafizik tersebut. Kemudian dilemparkan ke dalam realiti yang akan membuat rahang ternganga. Parker Finn telah berjaya membuat persepsi saya keliru tentang realiti dalam filem 'Smile 2'. Saya jadi ragu-ragu sama ada ini benar atau tidak sehingga akhirnya saya hanya mampu pasrah dan menunggu segala kengerian yang bakal muncul.

Jangan harap 'Smile 2' akan memberikan waktu tenang di tengah-tengah cerita kerana setiap detik dihiasi ketegangan yang merayap, membangun atmosfera intens di mana penonton tidak pernah tahu bila keganasan seterusnya akan datang. Parker Finn mampu memainkan sudut kamera dan efek suara untuk menciptakan suasana yang tidak nyaman, walaupun pada momen yang tampak biasa saja. Babak di mana Skye melihat figura misteri di sebalik cermin atau senyuman jahat di tempat yang tidak dijangka memberikan rasa kurang senang yang sukar untuk diabaikan.

Secara naratif, keputusan sang sutradara untuk membentuk karektor dengan trauma sebagai fokus utama adalah keputusan yang tepat. Ini adalah salah satu hal yang membuat 'Smile 2' tetap terasa segar meskipun pola ceritanya masih sama.

Kehadiran momen jumpscare-nya juga tidak boleh dibuat spekulasi. Biasanya kaedah membina adalah basi dan boleh diramal, seperti tiba-tiba suasana menjadi hening, fasa menjadi perlahan dan lambat, hantu muncul dengan penambahan skor gemuruh. Justeru di beberapa momen yang saya kira ada jumpscare malah tertipu. Terlalu banyak kejutan yang berlaku sehingga penonton sentiasa tidak bersedia untuk menghadapi elemen seram. Pendekatan seram psikologi tidak kurang gila. Informasi tentang antagonis dalam filem ini boleh mengacaukan fikiran mangsa membuatkan saya tidak nyaman dengan segala babak yang berlaku. Penonton dilambungkan, dibubarkan dalam halusinasi corak penguasaan hantu yang mengunyah minda mangsanya.

Naomi Scott memberikan performa yang sangat memukau sebagai Skye Riley. Dia mampu menunjukkan rentang emosi yang luas, mulai dari ketakutan hingga ke rasa putus asa untuk bertahan hidup. Sebagai seorang bintang pop yang terjebak dalam ketakutan, Scott berhasil menghidupkan karektor Skye yang terlihat kuat di luar, tetapi rapuh di dalam. Lakonan cemerlang Scott adalah kekuatan dalam 'Smile 2' kerana dia mampu membangun empati penonton terhadap karektornya yang terperangkap dalam sumpahan yang dahsyat. Perjuangan Skye untuk mencari jalan keluar dari sumpahan itu, ketika menghadapi tekanan kemasyhuran dan trauma masa lalu, sangat menyentuh perasaan.

Filem ini menggunakan sudut perspektif orang pertama yang begitu dominan. Hampir 95% filem ini memfokuskan kepada POV dari Skye Rilley. Kita disajikan kisah Skye yang akhirnya comeback setelah setahun hiatus kerana mendapat rawatan akibat kemalangan. Apatah lagi dia terpaksa memulihkan namanya selepas skandal dadah yang memusnahkan kemasyhurannya. Perkara yang paling jelas ialah Skye cuba melarikan diri dari kuasa 'hantu senyum'. Dia 'secara sedar' tahu bahawa dia tidak berada dalam dimensi lain, tetapi dia tidak boleh mengesahkan ini kerana keratan antara dunia sebenar dan halusinasi sangat tipis.

Skye Riley yang dihantui trauma lama adalah orang yang tepat untuk menjadi subjek mimpi buruk. Tidak cukup dengan harus mengatur emosinya yang sudah berantakan, dia harus menghadapi semua kejadian aneh yang tidak mampu dijelaskan. Hal inilah yang sebenarnya membuat 'Smile 2' sangat menyeramkan. Jumpscare mungkin datang dan pergi; tapi tidak boleh membezakan realiti dan ilusi adalah mimpi buruk yang ngeri. 

Sebagai penonton saya tetap peduli dengan karektor Skye meskipun ia bukan jenis karektor yang akan membuat banyak penonton relate dengan masalah hidupnya. Ia membuat Skye Riley tetap terasa seperti manusia, bahkan di momen terburuk. Dengan ending yang sungguh briliant, 'Smile 2' membuka banyak pintu untuk kemungkinan-kemungkinan yang terjadi. Kalau Finn masih mempunyai peluru untuk membuat kisah-kisah berikutnya seperti filem ini, tidak mustahil kalau Smile akan berakhir menjadi salah satu francais seram yang menarik. 'Smile 2' dapat disaksikan di seluruh jaringan pawagam Malaysia bermula 17 Oktober 2024.