oleh: zizi hashim
'Pulau Hantu' merupakan sebuah karya seram evokatif yang menggabungkan seram psikologi ghaib dengan autensiti budaya. Dengan jalan cerita yang menarik, visual atmosfera dan rekabentuk audio yang chill, memainkan peranan penting dalam membina suasana menakutkan. Filem ini wajib ditonton oleh antusias filem seram, lebih lagi mereka yang berminat dengan mitos seram terinspirasi dari folklore. Naratif kompleks yang cukup mencabar dan disturbing menyerlah sebagai tambahan budaya yang diperkaya dan meresahkan, membawa penonton mengembara ke dalam perjalanan yang menakutkan ke pulau misteri yang tidak didaftar dalam peta dan dipenuhi dengan mayat di merata tempat.
Plot bermula dengan perjalanan 5 remaja pasca-pengajian (Dara, Noah, Lathi, Niki dan Pandu) yang bernasib malang apabila bot mereka secara tiba-tiba terdampar di sebuah pulau misteri. Penonton dibawa meneroka situasi yang semakin mencengkam, bermula dengan usaha mereka mencari bantuan dan berakhir dengan penemuan-penemuan mengerikan. Kekuatan filem terletak pada kemampuannya menyelinap di antara realiti dan fantasi. Adegan Noah dan Dara yang memasuki hutan (atas dasar kemanusiaan) mencari suara gadis yang meminta tolong merupakan titik permulaan yang efektif untuk membina ketegangan naratif.
Unsur folklore yang digunakan berjaya mencuit rasa ingin tahu penonton sambil mengekalkan atmosfera seram yang autentik. Setiap adegan direka dengan teliti untuk mencetuskan rasa was-was dan antisipasi. Sebuah filem seram yang tidak sekadar mahu menakutkan, tetapi turut menyentuh dimensi psikologi dan budaya tempatan. 'Pulau Hantu' membawa hembusan segar ke dalam landskap filem seram Indonesia, menampilkan pendekatan kedalaman emosi dan kejutan yang tak terjangka. Tanpa banyak pengetahuan tentang filem-filem terdahulu dalam siri ini, saya berasa terkejut dengan arahan dan pelaksanaan filem itu.
Filem dibuka dengan flashback yang secara langsung menentukan alur cerita, mengisyaratkan bahagian penting plot yang secara perlahan terungkap. Hal ini dilakukan dengan cara yang terasa natural, menarik perhatian tanpa terkesan berlebihan. Setiap karektor diperkenalkan dengan jelas, membantu agar cerita mudah difahami. Persahabatan antara para protagonis terasa genuine, tidak dipaksa-paksa, memberikan filem ini landasan emosi yang solid. Kalau menurut saya, 1 lagi kekuatan sebenar filem ini terletak pada pembinaan watak. Mereka bukan sekadar mangsa dalam naratif seram, tetapi individu dengan dimensi perasaan yang kompleks. Setiap plot direncana dengan teliti, membangkitkan rasa ingin tahu tanpa perlu bergantung kepada cheap jumpscares.
Pendekatan naratif menarik digunakan dengan memecahkan plot kepada 2 perspektif saling terkait. Struktur cerita yang membahagikan antara pengalaman 5 sahabat yang terdampar dan kisah silam rumah rehabilitasi menunjukkan usaha untuk melepasi formula seram stereotaip. Namun 'Pulau Hantu' masih terjebak dalam perangkap genre biasa. Elemen seram yang dihadirkan kelihatan familliar - babak tersesat di hutan, watak yang terpisah, dan kemunculan entiti ghaib mengajak bermain hide & seek. Teknik jumpscares yang digunakan berkali-kali menimbulkan rasa jenuh.
Intipati sebenar filem ini terletak pada bahagian flashback, khususnya kisah Mala Putri. Sutradara Pei Irawan dan Alphadullah berjaya mengupas isu-isu sensitif seperti pengabaian ibu bapa, kekerasan terhadap kanak-kanak, dan impak trauma psikologi. Bahagian ini bukan sekadar elemen penceritaan, sebaliknya satu kritikan sosial yang mendalam. Elemen gore yang diselitkan berjaya menambah dimensi visual yang mencabar. Adegan kematian yang dipenuhi darah bukan sekadar untuk sensasi, tetapi turut menyumbang kepada naratif keseluruhan. Meski gagal dalam aspek seram, 'Pulau Hantu' menawarkan satu perspektif yang lebih kompleks tentang asal-usul ketakutan manusia.
Dari perspektif visual, sinematografi 'Pulau Hantu' berjaya menangkap keindahan seram lokasi pulau, dengan setiap landskap: pantai, hutan, dan kawasan gelap, terwujud kesan realistik. Pemilihan warna dan teknik gradasi warna memainkan peranan penting dalam membina atmosfera. Setiap shot dirancang dengan teliti, sama ada ia adegan sunyi di pantai malam atau rasa tidak nyaman merayap di hutan yang dipenuhi bayang-bayang.
Babak flashback yang mengupas latarbelakang Mala memperlihatkan kedalaman naratif yang lebih kompleks. Filem berjaya mengubah genre seram tipikal menjadi satu perkisahan yang mempunyai dimensi emosi. Watak Mala dibangunkan dengan baik, membolehkan penonton memahami dan turut memancing rasa simpati. Akting, skor muzik, dan penulisan skrip saling melengkapi, menghasilkan momen yang kuat dari segi emosi. Setiap adegan direka untuk membawa penonton lebih dekat kepada intipati sebenar cerita, melepasi batasan rutin genre seram.
Kalau menurut saya, jalan cerita tidak begitu rumit, malah pembinaan karektor juga mudah untuk difahami. Padat dengan unsur ngeri, brutal dan sadis kerana terdapat banyak babak tikaman, pembunuhan dan darah, namun kebanyakan adegan terjadi dalam kondisi gelap. Banyak adegan yang mengerikan terjadi, sayangnya disebabkan terlalu gelap, penonton tidak dapat melihat dengan jelas situasi yang terjadi. Meski logiknya ada, kerana di dalam hutan terasing seperti itu hanya mengharapkan cahaya dari lampu telefon bimbit, tetapi jika terlalu gelap dan tidak nampak apa yang terjadi bagaimanana untuk memahami dan menikmati keseluruhan flem.
Dalam durasi 1 jam 35 minit, yang patut diapresiasi selanjutnya ialah tata artistik dan design produksi kerana sukses menciptakan sebuah bangunan rehabilitasi yang terlihat benar-benar terbengkalai. Setiap sudut ruangan terasa nyata dan realistik. Dalam banyak hal, 'Pulau Hantu' lebih cenderung ke arah drama yang dibalut keseraman. Cerita tentang hubungan, kehilangan dan konsekuensi, yang dibingkai dalam nuansa intens dan mencemaskan. Tulisan naskhah agak menyentuh hati dan saya dapat merasakan ghairah di sebalik cerita, terutama cara mengeksplorasi perjuangan batin para karektor untuk berjuang hidup.
Pemilihan pelakon dalam filem ini amat bersesuaian dengan penghayatan karektor masing-masing. Kedalaman watak yang dilakonkan oleh Taskya Namya (Dara), Bukie B. Mansyur (Noah), Cindy Nirmala (Niki), Hannah Hannon (Lathi), Samo Rafael (Pandu) dan Amanda Green (Mala Putri) masih pada tahap meyakinkan, tidak annoying sekaligus tidak mengecewakan. Kemistri antara mereka berlima juga cukup mencapai validasi penonton. Sebahagian daripada kekecohan yang berlaku ketika mereka berada di rumah pemulihan Oasis juga sampai meraih kepercayaan penonton termasuk saya.
Pada akhirnya, 'Pulau Hantu' memberikan lebih daripada sekadar ketakutan dengan menawarkan pengalaman yang kaya dari segi emosi, menggabungkan seram dengan drama manusia dengan cara yang tulen dan menyentuh hati. Ia adalah filem yang menunjukkan terdapat lebih banyak lagi seram daripada yang dilihat mata, dan dengan sedikit lebih fokus pada pembangunan watak, ia boleh menjadi sangat menyerlah. Meski ramai yang pro-kontra, saya berpendapat 'Pulau Hantu' adalah entri yang tak kurang menarik dengan ending yang menimbulkan tanda-tanya.
Telah bermula tayangan di pawagam seluruh Malaysia sejak 12 Disember 2024, pecinta filem seram wajib tonton andai penasaran untuk mengetahui bagaimana nasib 5 remaja tersebut selanjutnya? Mampukah mereka keluar dari pulau tersebut? Jom tengok wayang...