Filem 'Pungut' Kupas Liku Kehidupan Pemungut Sampah

oleh: zizi hashim

Simbolik kepada kerosakan sistem yang dikatakan tempang dalam sesebuah organisasi setempat adalah, saya kira, apa yang tersirat dan cuba disampaikan melalui filem 'Pungut' ini. Berani bermain dengan risiko dalam mencipta kelainan, dimana sudut penceritaan yang sangat jarang diangkat dalam mana-mana filem aksi yang pernah saya tonton sebelum ini. Dengan penggunaan latar longgokan sampah sebagai premis utama, sempat menimbulkan rasa kurang selesa atau jijik pada pandangan mata saya, maka dianggap sukses memberi rasa 'tiada pilihan', mahu tak mahu terpaksa hadap juga demi sesuap nasi. Pesekitaran yang kotor, berbau busuk dan tidak sihat itu sudah pasti memberi impak berbeza ketika menonton filem ini.

Harus diakui naskhah bergenre aksi adalah di antara filem yang diminati oleh masyarakat di negara kita. Jika kena cara, gaya dan jalan cerita, ianya mampu mengundang Box Office tak terduga. Apatah lagi filem 'Pungut' ini berada dibawah arahan sutradara Areel Abu Bakar yang cukup terkenal dengan portfolio filem-filem aksi sebelum ini seperti 'Geran' dan 'Walid'. Namun saya merasakan filem produksi Studio Screen ini tidak cukup kuat untuk menyerlah kerana ketiadaan nama-nama besar seperti bintang handalan, contohnya Beto Kusyairy, Adi Putra atau Syafiq Kyle (sekadar menyebut beberapa  nama).

Mungkin hanya saya yang merasa sedikit keliru pada babak-babak awal yang banyak bermain dengan cantuman puzzle demi puzzle, setiap naratif di ambil sedikit ditampal dengan naratif yang lain pula dalam jumlah yang banyak membuatkan saya kurang berminat untuk cuba memahami apa yang disampaikan. Rasa macam nak pecah otak, cuba sedaya-upaya melihat dari perspektif yang berbeza, masih saja saya tidak pasti dan berpendapat seharusnya teka-teki sebegini tidak diletakkan pada awal filem. Mungkin saya yang 'lambat tangkap' namun menyelam dalam kesamaran bukanlah daya tarik yang saya antisipasikan.

Saya faham 'Pungut' memaparkan hakikat yang berlaku di dalam masyarakat sekarang. Sebenarnya sedang tenat walaupun nampak baik-baik saja pada mata kasar yang melihat. Mencerminkan tentang kuasa, kedudukan serta kepayahan masyarakat dalam kesukaran mengharungi liku-liku kehidupan demi mencari sesuap nasi. Meskipun itu realiti, namun majoriti penonton lebih sukakan fantasi kerana apabila datang menonton di pawagam sebenarnya ramai yang ingin melupakan sejenak kesesakan otak dan lari mencari 'mimpi palsu' yang kalau boleh beri rasa gembira sekejap pun jadilah. Usai menonton, terpaksa kembali semula kepada dunia sebenar.

Itu pendapat saya, kalau menonton tak mahu stress fikir masalah itu ini, nak gembira saja. Oleh itu, maaf cakap, saya kira genre sebegini bukan makanan saya. Saya hormat pada mesej kesedaran yang cuba dititipkan malahan ianya diperakui memang membuka mata saya untuk berasa dekat dengan konsep naratif yang terselit pada metafora di sana sini. Gejala tidak sihat seperti berjudi, pening 'air ketum', samseng kaki gaduh, ketagihan, mabuk todi, peras ugut dan banyak lagi adalah konflik yang tidak dapat lari dalam masyarakat kita.

Terasa bagaikan menonton rencana, cerita rakyat 'terpencil' yang bekerja sebagai pemungut sampah adalah sangat menyedihkan. Namun saya suka pada watak utama Salleh yang dilakonkan oleh Ruzaidi Abd Rahman, sentiasa tenang, sering membaca Al-Quran, tidak banyak cakap, sedikit misteri tetapi dalam diam tangkas seni bela diri. Kontra pula dengan watak Din Cengkoi lakonan Aman Graseka, memberi keseimbangan yang baik dalam mewujudkan konfrontasi di antara keduanya. Apa yang pernah terjadi di antara Salleh dan Din Cengkoi 'macam dulu dulu' terus menjadi tanda tanya. 

Apa yang paling saya suka dalam filem ini? Aksi pergaduhan yang laju, tangkas, on point, teknik berlawan yang impresif dan eskpresi seni bela diri yang handal, sangat saya puji. Tidak hairanlah setiap karektor yang dilakonkan memang mempunyai latarbelakang hebat dalam bidang mereka tersendiri. Difahamkan setiap pelakon diberi kebebasan oleh sutradara untuk beraksi secara semulajadi, memberi aksi realistik yang membuat mata saya yang layu kembali fokus pada skrin setiapkali aksi bertempur bermula. Syabas, babak aksi memang terbaik.

Meski pada pendapat saya masih banyak yang boleh diperbaiki dari segi penceritaan yang agak longgar, terlalu banyak kesamaran dan teka-teki yang buat otak sakit nak fikir. Ada juga momen yang buat rasa nak menjerit sebab tak sabar bila hero nak datang tolong selamatkan Omar dan Li yang hampir nak kalah. Untuk saya yang suka jalan cerita smooth, filem 'Pungut' punya plot terlalu banyak bengkang bengkok yang buat saya pening. Kalau kurangkan sedikit, mungkin OK, untuk saya. Namun pada yang suka narasi sebegitu, filem ini memang untuk anda.

Babak aksi dibungkus kemas, saya suka dan ada beberapa babak yang kelakar walaupun tak banyak. Karektor Omar lakonan Fad Annuar boleh tahan, jika diperkembangkan lagi boleh jadi hebat. Saya rasa ada sambungan sekuel seterusnya daripada hint yang terselit di penghujung filem. Saya tak suka cerita 'tergantung', rasa nak menangis pun ada teka itu ini, tak puas hati betul. Apapun kredit harus saya berikan pada semua yang terlibat dengan filem ini kerana berani mencipta kelainan dan tidak mengeluh apabila terpaksa berlakon di tapak pelupusan sampah sebenar yang terletak di Langkawi. 

Walaupun saya sendiri terasa kurang selesa tetapi tidak pernah memandang jijik pada pekerjaan pemungut sampah kerana sering membayangkan andai tiada orang yang sanggup melakukan kerja-kerja sedemikian, bagaimana agaknya. Sutradara Areel Abu Bakar ada membisikkan harapan agar penonton dapat menonton filem 'Pungut' dengan minda yang terbuka. Kepada mereka yang meminati filem-filem aksi, 'Pungut' adalah sebuah filem yang sangat sesuai untuk ditonton kerana ia memberikan kelainan yang tersendiri.

Turut dibintangi pelakon handalan antara lain yang saya puji lakonan cemerlang mereka ialah Megat Sharizal, Yusran Hashim dan Alif Yasraf, dibantu oleh Siti Julia, Rosmaliza Md Zin, Sham Lekir dan ramai lagi. Filem Pungut akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 29 Ogos 2024. Jom?!!!