oleh: zizi hashim
Bangga? Ya sudah tentu lah – semestinya! Pecah Panggung! Gelombang kejutan melanda apabila filem ABANG ADIK memecah rekod tayangan di Taiwan dengan kutipan Box Office sebanyak RM13.5 juta (NT$90mil), sekaligus melakar sejarah hebat sebagai filem Malaysia pertama yang berjaya seumpamanya di luar negara. Telah pun berada di pawagam Malaysia sejak 14 Disember 2023, dan masih lagi ditayangkan di serata Malaysia sehingga kini, mampukah filem drama berdurasi 114 minit penuh emosi ini mencipta Box Office di Malaysia pula?
Setakat hari ni ketika rencana ini ditulis, filem ABANG ADIK terus cemerlang mencipta rekod sebanyak RM5.2 juta di Malaysia hanya dalam masa 3 minggu tayangan – menjadikan ianya satu naskhah tempatan yang berada di kedudukan paling teratas serta berjaya memegang rekod sebagai filem pertama tempatan yang paling banyak ditonton. Kejayaan yang mencetuskan fenomena sinematik ini harus diberikan sekalung tahniah dan sebesar pujian kepada sutradara dan pengarah filem Jin Ong bersama seluruh produksi filem terbitan More Entertainment Sdn Bhd, dengan kerjasama New Century Southward Development Co Ltd, dibawah edaran mm2 Entertainment yang gemilang mencipta sebuah lagi sejarah baru bersama ABANG ADIK.
Filem yang disifatkan sebagai naskhah paling asli oleh antusias filem yang telah menonton sekali dan juga berkali-kali, mengangkat tema realiti jerih-perih kehidupan dua anak yatim piatu tiada berdokumen lengkap, dilakonkan dengan sangat baik oleh Jack Tan (adik) dan pelakon popular dari Taiwan, Wu Kang Ren (abang). Dijulang dalam pelbagai Festival Filem dan Anugerah Filem di seluruh dunia, filem ini dikesan berjaya mencapai sukses cemerlang bukan sahaja melalui originaliti dan keunikan naratif storyline-nya yang tidak klise, malahan dilihat dari satu sisi lain tentang keinginan untuk saling memiliki, sifat survival bertahan hidup dalam situasi yang tidak menentu, mencari koneksi dan koreksi diri, dan yang paling ultimate adalah cinta dan kasih sayang.
Secara peribadi, saya sendiri tidak dapat menahan airmata dan menangis teresak-esak pada kebanyakan babak. Meski jalan cerita agak perlahan tetapi sangat mendebarkan. Saya asyik meneka-neka apalagi bakal terjadi selepas setiap babak ke babak yang lain. Harus diberi kredit pada Pengarah Muzikal filem ini, Katayama Ryota yang begitu teliti membuat pemilihan skor muzik melodi indah sepanjang filem berjalan, mewujudkan kemistri yang terjalin dengan momen senyap luarbiasa dalam komunikasi dua beradik yang menggunakan bahasa isyarat untuk berbicara. Sebuah karya seni yang amat sasterawi dan paling boleh dibanggakan jika dinobatkan bertanding ke Oscar sekalipun.
Maka tidak hairanlah sekiranya filem sehebat ini mendapat respons-respons positif dan menuai kejayaan demi kejayaan dari hari pertama ditayangkan. Saya pasti mahu menonton sekali lagi untuk sebuah karya yang baik, malah terbaik ini. Kekhuatiran, penderitaan dan harapan hancur hidup tanpa dokumen yang digambarkan sekitar area Pudu Kuala Lumpur begitu realistik dan tidak dibuat-buat. Sebenarnya filem yang simple, yang tak perlu banyak rempah ratusnya, tetapi begitu powerful sehingga mampu menggoncang emosi, sedar tak sedar airmata mengalir di pipi.
Sepanjang ditayangkan di festival-festival luar negara, ABANG ADIK telah menerima pengiktirafan dunia apabila mencipta sejarah sebagai filem Asia Tenggara pertama yang menyapu bersih 3 hadiah utama di Far East Film Festival ke-25 di Udine, Itali pada April 2023. Turut berjaya membawa pulang trofi Golden Mulberry, Black Dra Critics dan Anugerah White Mulberry untuk filem cereka terbaik. Wu Kang Ren juga dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Golden Horse ke-60 untuk hasil kerja hebat beliau sebagai peranan lelaki bisu dalam filem ini.
Nasihat saya, pergilah menonton ABANG ADIK. Jangan tipu kalau tidak menangis. Babak paling saya suka ialah ketika bertemu buat kali terakhir dalam sel penjara, dibekalkan dengan 2 biji telur rebus yang menjadi ‘simbolik’ keakraban seorang abang dan adiknya. Kasih sayang yang terpamer diantara keduanya menggigit jiwa saya sebegitu kuat. Begitu juga dengan selingan azan maghrib dan subuh yang beberapa kali berkumandang dalam filem ini, mengingatkan kita ini filem Malaysia, buatan Malaysia, dirakamkan di Malaysia dan hak orang Malaysia – seharusnya kita bangga.
Paling terkesan dipenghujung cerita, laungan azan kuat bergema. Saya menangis sampai merah mata. Terasa sesak jiwa bagai diramas-ramas. Filem yang tidak banyak dialog, hanya mainan bahasa isyarat, banyak menyingkap seribu rasa tanpa perlu berkata-kata. Syahdu dan pilu melihat dua beradik jadi sebegitu, namun itulah realiti kehidupan. Suka atau tidak, kita ni sementara hidup, hiduplah elok-elok. Tahniah sekali lagi ABANG ADIK.
Kejayaan dan sejarah yang dicipta adalah sangat membahagiakan, membanggakan dan sangat manis bagi pembukaan 2024. Kutipan Box Office yang cukup memberansangkan ini memberi semangat untuk menghasilkan yang lebih baik dari yang terbaik. Bak kata sutradara Jin Ong, “Semoga filem Malaysia terus bersemarak dan menjadi eye-opener kepada dunia tentang kehebatan karyawan seni dari negara kita yang tercinta.”