Filem ‘How To Make Millions Before Grandma Dies’:  Apakah Suatu Kebetulan?

oleh: zizi Hashim

Menonton filem ini, saya terasa begitu kuat relatif dengan kehidupan saya di dunia nyata. Sangat terkesan dijiwa, apakah suatu kebetulan? Saya dibesarkan oleh seorang ibu tunggal, ayah meninggal dunia ketika saya berusia 3 tahun. Ada seorang abang dan adik lelaki, saya seorang anak perempuan tunggal dan ada seorang anak lelaki tunggal. Ibarat menonton implementasi kisah hidup sebenar saya yang difilemkan, meski tidak 100% sama namun hampir serupa.

Sukses membuat saya dan majoriti para penonton banjir airmata, filem yang disutradarai oleh Pat Boonnitipat ini menceritakan kisah penuh emosi hubungan antara cucu lelaki dan neneknya. Tayangan di seluruh pawagam Malaysia bermula 30 Mei telah mencatat kutipan RM4.2 juta selama 5 hari tayangan. Siapa sangka filem drama plot sederhana sebegini mampu mencatat fenomena Box Office luarbiasa di Thailand, Indonesia dan Malaysia? Filem produksi GDH ini menyimpan pesan yang kuat tentang dinamika keluarga juga mengajak penonton meraikan setiap waktu yang berharga bersama orang-orang tersayang.

Dengan tema Slice of Life, tidak ada yang megah atau berlebih-lebih dalam filem Thailand ini. Jalan ceritanya cukup sederhana tetapi begitu relatif. Isu keharmonian keluarga, perebutan pusaka, favoritisme dan patriarki muncul dalam cerita. Dalam durasi 2 jam 7 minit, ‘How To Make Millions Before Grandma Dies’ (HTMMBGD) berhasil dengan mudah membawa penonton ikut hanyut tidak hanya dalam alur ceritanya yang ringan, tetapi juga perkembangan 2 karektor utamanya. Lakonan dari kedua tokoh utama mampu menciptakan kemistri epik antara nenek (Usha Seamkhum) dan cucu (Billkin Putthipong).

Dialognya terdengar natural dan realistik, apatah lagi apabila diselitkan komedi lucu ‘berlawan cakap’ yang memecah gelak ketawa seluruh panggung. Begitulah saling tak tumpah sebagaimana anak saya bercakap dengan ibu saya. Emosi bercampur-baur dimulai dengan nenek yang dikesan menghidap kanser usus tahap 4. Lantaran itu, cucu lelaki tunggalnya, si M, memutuskan untuk mendedikasikan hidup membantu dan merawat neneknya, meski pada awal bukan atas dasar kasih sayang. Niat M tidak lain tidak bukan adalah untuk mewarisi harta peninggalan neneknya kelak. 

Namun bukanlah satu hal yang mudah untuk memenangi hati sang nenek. Neneknya adalah seorang wanita kuat, berdikari, selalu bersendirian dan sulit ditaklukkan. Mirip benar dengan karektor ibu saya yang sudah biasa hidup sendirian membesarkan 3 orang anaknya sejak kematian suami di usia muda. Masalah lain timbul apabila M dapat tahu dia bukan satu-satunya yang mengejar harta pusaka neneknya. Dia terpaksa bersaing sengit dengan 3 orang anak-anak kesayangan neneknya itu.

Sebelum habis waktunya, M berusaha keras sedaya upaya untuk menjadi kesayangan nenek. Pada awal tampak seolah M tidak peduli dengan lingkungan sekitarnya namun berubah perlahan di separuh akhir filem menjadi seorang yang ambil berat sekaligus penyayang. Perkembangan karektor M berjalan santai dan tidak terburu-buru. Penonton diberi ruang cukup untuk melihat M tumbuh melalui babak-babak yang dilalui bersama Amah, mencipta bonding kental semulajadi yang tak terpisahkan.

Proses M berusaha menjadi kesayangan Amah dibalut dengan komedi. Riuh satu panggung dengan gelak ketawa. Watak M yang selalu beza pendapat dengan Amah sering mengundang tawa. Dan sedar tak sedar perbezaan itulah yang mendekatkan keduanya. Di satu sisi lain, penonton juga melihat Amah yang kuat dan berdikari selama ini perlahan-lahan menjadi tak berdaya akibat virus jahat kanser itu. Perubahan fizikal Amah satu persatu membuat penonton turut sama merasakan sakit yang dideritainya. Penonton juga ikut terpukul dengan karektor Amah yang kerap kali terluka tetapi hanya berdiam diri.

Setelah buat penonton pecah ketawa sejak awal, penonton langsung disajikan pula dengan momen emosional sehingga menitiskan airmata menjelang akhir filem. Formula penceritaan yang mengangkat permasalahan umum sering terjadi dalam keluarga. Namun daya tarik utama filem HTMMBGD ini kalau menurut saya terletak pada perpaduan pelakon muda dan senior yang berhasil menghadirkan kemistri luar biasa. Juga terletak pada kemasan cerita, perkembangan watak dan sinematografi yang epik.

“M selalu tanya Mak, siapa yang paling Mak sayang?” kata Amah (setelah diterjemahkan) kepada anak perempuan tunggalnya, dalam satu babak yang membuat saya menangis. “Mak tak tahu… tapi yang Mak tahu, Mak paling selalu ingin bersama kamu.” Usai bicara itu, berjuraian airmata saya. Pantas teringat arwah ibu saya. Kata-kata yang ‘sama dan serupa’ begitu mengigit jiwa saya. Ibu saya memang pernah menuturkan sebegitu. Saya kalah dengan permainan emosi yang sangat menyentuh rasa ini. Lantas menangis teresak-esak, dari segenap jiwa raga.

Sakitnya rindu pada Mak... mohon hadiahkan bacaan Al-fatihah buat Ibu saya, Allahyarhamah Sapiah Binti Ujang – terima kasih. 

Pada akhirnya HTMMBGD menjadi filem yang sukses mencerminkan hubungan cucu dengan nenek yang lucu, hangat dan menyentuh hati. Penonton akan dikejutkan dengan plot twist yang semakin buat airmata mengalir laju tanpa dipaksakan. Filem ini adalah sebuah perjalanan yang mengingatkan kita tentang kemanusiaan, keluarga dan makna hidup. Dalam masa yang sama, menyebarkan pesan moral “Harta tidak akan mampu menggantikan waktumu yang berharga bersama orang tersayang.”

Sebagai manusia, meskipun berbeza dari pelbagai aspek, namun tetap mencintai, menderita dan memahami hal yang sama. Jom tonton sementara masih hangat di pawagam.