Filem 'Gold': Inspirasi Kisah Benar Biopik, Bangkit Semangat Patriotik

oleh: zizi hashim

Mungkin ada yang pro-kontra dengan pendapat saya, jika saya berikan rating 10/10 untuk filem aksi sukan, naskhah terbaru Astro Shaw bersama Act 2 Pictures dengan kerjasama Clover Films dan One Cool Entertainment ini. Kali ini mempertaruhkan sebuah kisah benar biopik berinspirasi daripada pemenang pingat emas pertama badminton paralimpik dunia pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, seorang wira sukan negara yang sewajarnya didendangkan – Cheah Liek Hou. Ramai yang tidak tahu, saya kira, tentang pencapaian hebat ini. Percayalah, usai menonton filem ‘Gold’ anda pasti seperti saya, merasa sangat bangga menjadi rakyat Malaysia.

Apa yang hebat sangat tentang ‘Gold’? Sebagai seorang pecinta kisah benar, 80% daripada adaptasi liku-liku hidup Cheah Liek Hou digarap kemas oleh sutradara berjiwa besar (yang kini merupakan salah seorang sutradara favourite saya) Adrian Teh yang sentiasa bersikap rendah diri meski telah mencetak beberapa naskhah filem Box Office seperti Paskal The Movie dan Malbatt Misi Bakara. Apatah lagi berkolaborasi dengan penulis Tan Pik Yee yang popular dengan filem aksi sukan ‘Ola Bola’ yang pernah mencetus memorabilia pada tahun 2016. Penuh emosi, buat airmata saya berlinang di pipi, sehingga kini masih terkesan di hati.

Dalam durasi 126 minit, setiap aksi sentiasa mencipta debar meski jalan cerita pada mulanya sedikit mendatar namun berbaloi dan wajar, pastinya penonton perlu pupuk sedikit sabar. Ekspedisi throwback ke tahun 1992 pada pembuka cerita awal-awal lagi sudah bikin saya goosebump mengenang kembali detik-detik Piala Thomas jadi hakmilik. Satu Malaysia sama-sama berbangga, menjerit gembira apabila Rashid Sidek menghadiahkan kemenangan yang pertama membuka haluan mudah untuk Malaysia melangkah. Penuh bersejarah! Seawal minit-minit pertama itu mata saya sudah mulai berkaca.

Kemudian, kita dibawa melihat tumbesaran Cheah Liek Hou tahun demi tahun. Sejak kecil menjadikan Rashid Sidek sebagai idola, semangat kian membara apabila mendapat sokongan padu dari bapanya. Apabila dicabar lawan satu sama satu, “Kalau kau menang kau boleh ambil raket aku.” Guan Ting beritahu. Kerana bakat dan semangat, dengan kelajuan pukulan sepantas 4 saat, Liek Hou gigih mahu terlihat hebat, demi membuktikan pada ibu yang marah dan ralat kerana keputusan peperiksaannya teruk sangat. Namun akhirnya ibu akur dengan beberapa syarat.

Memperlihatkan nilai kesungguhan jitu dan padu, Liek Hou yang tidak pernah kalah tiba-tiba terpaksa terima berita kurang indah. Disahkan menghidap penyakit saraf Erb’s Palsy, seluruh dunia Liek Hou terasa bagai kaca terhempas ke bumi. Hilang punca dan terlalu kecewa, cita-cita dan impian sudah terkubur untuk bergelar pemain professional di arena sukan nasional. Saya puji lakonan Jack Tan, cemerlang kental, tampak realistik bermain badminton dengan tangan kidal. Mengakui bermula dari kosong, tak pernah pegang raket langsung. Sahut cabaran, dalam masa 3 bulan, wah bukan main handal si Jack Tan!

‘Gold’ sememangnya mengangkat kisah tentang Cheah Liek Hou dari A sampai Z, wira suka negara yang  hebat, namun di tangan Jack Tan filem ini jadi kuat. Adrian Teh buat pilihan yang amat tepat. Bukan sahaja di gelanggang dia tangkas, namun jangan tipu kalau anda tak rasa apa-apa ketika babak bila dia menangis dalam tandas. Detik paling banjir airmata, kematian ayah Liek Hou secara tiba-tiba buat terasa gelap seluruh dunia, Ketika dia mulai menerima nasib ditakdirkan cacat, kenapa ayah pula mesti pergi terlalu cepat? Satu pawagam terdiam.

Seterusnya apalagi? Kemistri Jack Tan dan Farid Kamil mencerminkan dinamik bonding Cheah Liek Hou dan Rashid Sidek yang menarik dan terbaik. Jack Tan dan Farid Kamil sama-sama perlu mengambil masa untuk berlatih semula pegang raket dan terpaksa amalkan diet sihat. Transformasi tambah dan turun berat badan yang dilalui begitu terserlah, bukanlah sesuatu yang mudah, perlu motivasi diri tak boleh goyah. Semuanya dilalui dengan tabah demi hasilkan filem yang berkualiti dengan sinematografi skala tertinggi. Cantik, dramatik dan terbitkan nuansa melankolik.

“Kita Pasti Boleh” adalah runut bunyi yang paling sesuai tema, bukan sahaja buat Cheah Liek Hou malahan buat keseluruhan barisan pelakon yang ‘buat kerja’ sehabis daya. Wan Raja sebagai Misbun Sidek, Fabian Loo sebagai Guan Ting dibantu dengan jayanya oleh Freddie Ng, Josiah Hogan, Danial Cheah, Yasmin Hani, Lynn Lim, Meeki Ng serta penampilan istimewa Tony Eusoff, Nafiez Zaidi dan Ikhram Juhari. 

'Gold' akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 11 Julai 2024 ini. Dan mulai 11 Julai juga pasti ramai akan mengenali secara dekat seorang Cheah Liek Hou, cerita bagaimana dia menuju puncak kejayaan dengan determinasi tinggi yang turut menyuntik semangat jati diri. Saya sendiri tidak terkecuali. Penantian yang datang pada usia 33 tahun, berhadapan dengan lawan nombor satu dunia yang muda 11 tahun, meski sudah tahu kemenangan dipihak siapa tetap terasa cemasnya.

“Surprise attack dia! Jangan lupa awak 11 tahun lebih berpengalaman dari dia.” kata-kata peniup semangat dari Datuk Rashid Sidek buat Cheah Liek Hou kuat. Dan terasa bulu roma berdiri saat lagu “Negaraku” berkumandang merdu di negara orang, bangganya tak terperi. Menangis lagi, entah yang ke berapa kali. Terbaring di tengah gelanggang, Cheah Liek Hou senyum gembira, seolah-olah ternampak ayahnya tersenyum di hujung sana. 

“Menang untuk Malaysia!” filem ini menang di hati saya, pergi lah tonton, semoga filem ini akan menang di hati anda juga, Saya bangga jadi rakyat Malaysia!