Filem Cinta Fantasi Komedi ‘Welcome To My Side’ Beri Variasi Emosi

oleh: zizi hashim 

Sebenarnya, bukanlah satu kebiasaan bagi saya untuk menonton filem dari China yang berdialog kantonis atau mandarin. Cuma kebelakangan ini sahaja sering terjebak menonton sejak filem “Abang Adik” dan “Rain Town”. Disebabkan itu, pada mulanya saya agak skeptikal dengan filem ‘Welcome To My Side’ (WTMS) ini. Saya tidak menaruh harapan yang tinggi terhadap filem ini namun firasat saya sama sekali meleset. Hingga saat ini, tidak keterlaluan jika saya labelkan WTMS sebagai filem cinta fantasi komedi yang telah sukses menduduki tempat nombor satu di carta hati saya. 

Menonton WTMS, saya merasakan seolah-olah dibawa menaiki rollercoaster ride yang penuh dengan liku suka-duka kehidupan. Pada awalnya, saya dan seluruh panggung ketawa kuat tak henti-henti dari satu babak ke satu babak. Satu pengalaman menonton filem yang terasa sangat nyaman kerana lawak jenaka segar yang dihidangkan bukan humor slapstik. Apa yang paling saya suka? Sudah tentu itik-itik kuning yang comel itu.

Kalau menurut saya, WTMS adalah filem yang telah dicipta dengan sangat bijak. Telah berada di pawagam semenjak 5 Julai 2024, dengar khabarnya telah mencetuskan fenomena terutama sekali apabila ramai yang menonton disebabkan oleh satu perkara. Hero utama si aktor popular Yu Shi telah mengheret sejumlah besar peminat fanatiknya untuk membanjiri pawagam sekaligus mencatat kutipan Box Office di China. 

Yu Shi memegang watak utama bernama Chen Xiaozhou telah mengalami kecelakaan elektro-terapi yang mengakibatkan dia menderita tidak boleh melihat ‘warna kuning’ selepas sedar dari pengsan. Setiapkali dia melihat ‘warna kuning’, sesiapa sahaja yang berada di hadapannya akan serta-merta bertukar menjadi itik kuning yang hanya boleh berkata “Quack Quack!”. Sutradara sengaja menggunakan bahasa lensa yang halus untuk menunjukkan dunia dari kacamata Chen Xiaozhou dengan lebih jelas. Adegan-adegan tidak masuk akal membuat penonton ketawa tanpa henti namun dalam masa yang sama bersimpati dengannya.

Dalam ertikata lain, Chen Xiaozhou akan berhadapan dengan masalah komunikasi dengan manusia dari masa ke semasa kerana halusinasi ini. Namun, setelah gadis bernama Feng Jianan (lakonan Wang Yinglu) muncul di hadapan mata, segala gejala halusinasi segera hilang. Ini merupakan salah satu faktor membuatkan Chen Xiaozhou perlahan-lahan jatuh cinta kepada Feng Jianan tanpa sedar. Feng Jianan telah memberi sinar cahaya dalam hidupnya. 

Pada durasi 1 jam 42 minit, lakonan komedi Yu Shi terlihat lancar, natural, realistik dan menarik. Dia tidak bergantung pada pergerakan berlebihan atau ekspresi lucu untuk mencipta impak komedi. Sebaliknya dia menggunakan tampilan serius bagi memaparkan karektor dalam situasi janggal, sekaligus mencapai kontras jenaka yang sangat baik. Sebaik sahaja dia melihat itik kuning itu, suasana komedi serta merta penuh. Satu panggung pecah gelak ketawa, gamat jadinya.

Saya akui peranan Chen Xiaozhou memang dicipta khusus untuk Yu Shi dan Yu Shi telah juga menyuntik kehidupan filem ke dalam Chen Xiaozhou, vice versa. Feng Jianan pula menambahkan sentuhan warna pada WTMS dengan senyuman dan ketabahannya. Seiring berjalannya plot cerita, hubungan antara Chen Xiaozhou dan Feng Jianan menjadi semakin mendalam. Kisah mereka ibarat puisi yang bergema di hati penonton. WTMS tidak hanya memberi nikmat visual, malahan turut memberi kejutan variasi emosi yang kuat.

Kisah cinta fantasi ini membuat saya melihat kebijaksanaan sifat manusia dan memberi pemahaman meluas tentang apa itu cinta sejati. ‘Welcome To My Side’ memperlihatkan keindahan dan kehidupan kompleks melalui serangkaian plot yang mencengkam. Secara tak langsung, membuat saya percaya bahawa terkadang sebuah pertemuan tanpa sengaja mampu mengubah seluruh kehidupan. Sila percaya bahawa cinta sejati itu wujud.

Apa yang hebat sangat dalam lakonan Yu Shi kali ini? Dia berhasil membawa karektor orang biasa dengan baik. Chen Xiaozhou hanyalah salah seorang dari berjuta-juta manusia yang bekerja di Shanghai dan menghadapi tekanan rutin hidup yang membosankan. Sebelum kecelakaan elektro-terapi, dia baru sahaja putus cinta. Sama seperti kita semua, Chen Xiaozhou mempunyai masalah, kemalangan, struggle dan kegembiraan setiap hari. Dia tidak tahu yang mana satu akan menjejaskan hidupnya saat ini. Yang mampu dilakukan oleh Chen Xiaozhou ialah kekal aktif menangani semua masalah. Satu langkah pada satu masa.

Bila dilihat dengan mata kasar, Chen Xiaozhou adalah seorang lelaki muda yang ceria dan positif. Yu Shi menambah perisa luarbiasa kepada karektoristik biasa yang menjadikan watak Chen Xiaozhou tampak unik di layar skrin. Usaha lakonan Yu Shi ini jelas terlihat pada ekspresi emosi karektor, dari panik hingga tenang. Meski sering berhadapan rintangan dalam hidup dan kerja disebabkan halusinasi, dia tetap positif dan berusaha keras untuk berpura-pura menjadi orang biasa dan cuba berkomunikasi dengan itik kuning, yang seterusnya mencetuskan jenaka dan membuat penonton ketawa. 

Selain itu, turut terlihat pada perubahan emosi karektor dari gementar gugup kepada perasaan sebenar. Meski filem ini adalah kombinasi cinta dan komedi, namun babak emosi telah menyumbang sebahagian besar. Kisah cinta Chen Xiaozhou dan Feng Jianan melalui proses perkembangan berliku-liku disebabkan simptom halusinasi yang dialaminya.

Filem ‘Welcome To My Side’ tidak memilih latar fantasi atau plot syok sendiri, tetapi memfokuskan kamera pada kisah cinta paling biasa, proses sembuh diri dan adrenalin angau bercinta yang ringan dan lucu. Pemilihan latar plot yang manis, ringan dan menarik membawa saya dan penonton lain kepada satu pengalaman menonton yang ‘sifar beban’ dan menyegarkan.

Tidak memiliki efek khas yang indah, tiada alur cerita yang naik turun. Hanya memiliki ketulusan dan sentuhan emosi. Tiada sensasi yang disengajakan, tetapi secara tak sengaja telah menyentuh bahagian paling terdalam dan terlembut di hati saya. 

“You are the stranger I am most familiar with.”