Filem 'Bolehkah Sekali Saja Ku Menangis' Selami Isu Trauma dan Fasa Sembuh Diri

oleh: zizi hashim

Berpura-pura kuat dan menahan esak tangis adalah kepakaran ramai wanita, saya kira, kerana saya juga tidak terkecuali antara salah seorang dari yang ramai. Rungkaian kisah penuh emosi dan begitu deep menyelami isu kesihatan mental membawa kita ke dalam kehidupan Tari. Memendam rasa bertahun-tahun lamanya sehingga tidak lagi mengenal entah siapa bayangan refleksi di cermin dengan mata yang lelah memandang kosong, perlahan-lahan cuba untuk tersenyum, malah juga kosong, adalah gambaran tepat seorang perempuan bernama Tari. Dalam durasi 110 minit, filem 'Bolehkah Sekali Saja Ku Menangis' (BSSKM) ini menggali luka dalam keluarga dengan naratif yang kuat dan relatable.

Dilakonkan dengan cemerlang oleh Prilly Latuconsina, filem bermula pada adegan 'jabat tangan salam kenal' dengan Anandara Bentari atau panggil saja Tari. Sering berpura-pura kuat di hadapan  ibunya, meski luka-luka sudah terlalu parah dan dalam, semakin memakan dirinya sendiri dan berasa terlalu takut untuk menangis kerana merasakan berdosa kalau airmatanya tumpah, Tari terus-terusan menyembunyikan trauma besar yang tak mampu diceritakan kepada sesiapa pun. Hidup tersiksa di tengah-tengah keluarga toksid, memaksakan senyum di hadapan semua orang, filem ini tidak hanya sekadar drama keluarga biasa, namun menurut saya, adalah sebuah refleksi luka batin yang jarang dibicarakan dalam masyarakat.

Diproduksikan oleh Sinemaku Pictures, filem di bawah arahan sutradara Reka Wijaya Kusuma ini menyentuh isu kesihatan mental, sudah rasmi ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 14 November 2024. Sebagai produser sekaligus merangkap teraju utama, Prilly Latuconsina, dengan jelas menyatakan bahawa kesihatan mental bukanlah hal yang tabu untuk dibicarakan. Lewat filem ini, ia ingin menyampaikan bahawa menangis bukanlah tanda kelemahan, melainkan langkah pertama menuju pemulihan. Isu ini menjadi sangat relevan di tengah masyarakat yang kerapkali mengabaikan pentingnya kesihatan mental, terutama di dalam keluarga.

Terinspirasi dari lirik lagu "Runtuh" yang dinyanyikan oleh Feby Putri dan Fiersa Besari, lagu yang penuh emosi ini menjadi dasar cerita BSSKM, mengajak penonton merasakan setiap perasaan yang dialami oleh karektor utama, Tari. Isu keganasan rumah tangga yang serius diketengahkan dimana karektor Tari perlu melindungi ibunya daripada keganasan bapanya sendiri, memberikan gambaran betapa sukarnya hidup dalam persekitaran yang penuh dengan keganasan dan trauma. Melalui cerita ini, penonton diajak memahami kesan psikologi situasi ini. Selain itu, isu kesihatan mental digambarkan melalui tekanan emosi yang dialami Tari, bertujuan untuk mendidik penonton tentang pentingnya berbicara mengenai masalah emosi dan mendapatkan sokongan.

Ayah Tari (lakonan Surya Saputra) adalah sosok panas baran yang paling saya benci dalam BSSKM kerana seringkali meluapkan amarahnya kepada sang ibu (Dominique Sanda). Setiapkali babak keganasan dalam rumahtangga berputar, saya secara tidak langsung berkongsi rasa takut yang dirasakan Tari tapi pada masa yang sama berasa marah dan benci pada sebuah rutin kelam yang menyelimuti kehidupan mereka anak-beranak. Lebih benci lagi apabila sang ibu tetap memilih bertahan dalam hubungan itu. Bodoh! Ya bodoh! Saya marah dalam hati, tapi sabar cerita baru saja bermula.

Di tengah-tengah keretakan keluarga, Tari yang pada dasarnya hanya mahu melindungi ibunya, justeru terjebak dalam lingkaran penderitaan yang memburukkan lagi luka parah batinnya. Kakaknya, yang tidak kuat dengan situasi tersebut, memilih untuk meninggalkan rumah, sedangkan Tari, dengan segala cinta dan keberaniannya, tetap cuba bertahan tinggal meski dirinya terluka. Namun, bagaimanapun kuatnya dia berpura-pura, pertahanan itu perlahan-lahan rosak dan hancur. Setiap langkah, setiap detik dalam hidupnya, menjadi beban yang menimbun hingga tiba saatnya di mana dia tak lagi mampu menahan semuanya sendirian.

Lewat filem berjalan, Tari bertemu dengan Baskara, lakonan Pradikta Wicaksono, dari rakan sekerja menjadi sahabat sekaligus tempatnya mencurahkan perasaan. Baskara dan Tari secara kebetulan juga dipertemukan sekali lagi di dalam sebuah support group, sebuah ruang aman bagi orang-orang yang mengalami trauma dan tekanan mental. Bersama-sama, mereka berkongsi cerita, saling menguatkan, dan mencuba menyembuhkan luka-luka yang tersembunyi di dalam diri masing-masing. Di sinilah pesan penting dari filem ini disampaikan: bahawa tidak mengapa untuk menangis, tidak salah untuk mengungkapkan rasa sakit, dan pentingnya memiliki sokongan dari orang-orang terdekat.

Dibintangi barisan nama-nama besar seperti Antonio Blanco Jr, Shania Gracia, Kristo Immanuel, dan Widi Mulia, BSSKM memberikan performa lakonan yang intens dan mendalam. Setiap karektor membawa beban emosi yang terasa begitu realistik, seakan-akan penonton dan saya sendiri mampu merasakan kepedihan dan tekanan hidup yang mereka alami. Reka Wijaya selaku sutradara juga menampilkan visual yang mengesankan, dengan penggunaan pencahayaan yang lembut dan simbolik, memperkuatkan atmosfera emosional di setiap babak. BSSKM bukan sahaja berjaya menyampaikan mesej moral yang mantap, malah dari segi estetika juga menyajikan pengalaman visual yang menawan.

Siapa sangka daripada serpihan lirik lagu “Runtuh”, tajuk itu dikembangkan menjadi sebuah filem lengkap bertemakan isu kesihatan mental. Secara garis besar, BSSKM memberikan banyak kemaskini pembaharuan yang menarik. Salah satunya ialah pengenalan support group (kumpulan sokongan), yang memiliki peranan penting dalam menyembuhkan luka dari trauma pada diri seseorang. Support group memang hal yang masih tabu di Malaysia. Namun perkumpulan orang yang saling membantu ini ada dan penting untuk diketahui. Dengan bergabung ke dalam support group, seseorang yang sedang berjuang merawat kewarasan memiliki kesempatan untuk sembuh. Tema sensitif dan tabu ini diangkat dengan cerita yang sederhana sehingga terasa tak begitu jauh dengan kehidupan sehari-hari.

Kredit lakonan paling cemerlang sudah tentu harus diberikan kepada Surya Saputra. Sepanjang durasi filem ini, Surya tampil luarbiasa dalam menghidupkan watak Pak Pras. Nada bicaranya, ekspresi kemarahannya, cara berjalannya, dan setiap details yang diberi membuktikan bahawa Surya Saputra memiliki talenta yang cukup besar. Prilly Latuconsina pun cukup mengimbangi lakonan Surya Saputra sebagai ayahnya. Meski ini bukan kali pertama Prilly berlakon sebagai seorang perempuan tertindas, penampilannya tetap berkesan. 

Sorotan soal lakonan justeru tertuju pada Dikta Wicaksono. Ex-vokalis band Yovie and Nuno itu tidak memberikan lakonan khas untuk karektor Baskara. Penonton seperti menyaksikan Dikta asli di layar lebar. Tingkahnya, gaya bicaranya, dan semuanya masih terasa seperti Dikta, bukan Baskara. Dikta seolah-olah tak memberikan sentuhan khusus untuk menampilkan sosok Baskara yang berbeza. Hal ini sangat disayangkan kerana sebenarnya masih banyak ruang yang boleh dieksplorasi oleh Dikta lewat karektor Baskara.

Persoalan besar dalam filem ini ialah adakah Tari dan orang di sekelilingnya akan dapat pulih daripada trauma yang dialami? Filem ini tidak menawarkan penyelesaian segera atau pengakhiran yang menggembirakan sepenuhnya, sebaliknya memberi ruang kepada penonton merenung perjalanan panjang yang perlu dilalui seseorang dalam menghadapi luka batin. 

BSSKM bukan sahaja ingin menghiburkan, malah mengajak kita untuk berfikir lebih mendalam tentang isu kesihatan mental dan kuasa sokongan daripada orang terdekat. Sebuah filem yang patut ditonton dan direnung bersama, lebih-lebih lagi di tengah-tengah realiti kehidupan yang sering penuh tekanan dan trauma terselit di sebalik senyuman. Jom tonton?