Face Off 7: One Wish, Filem Drama Keluarga Menyentuh Hati

oleh: zizi hashim

Melalui kepingan puzzle yang saling terkait, sarat dengan senyuman dan airmata, 'Face Off 7: One Wish' adalah kisah menyentuh hati tentang keluarga besar Puan Hai, berusia 73 tahun, seorang ibu tunggal yang membesarkan 5 orang anak sendirian. Ini berikutan suaminya telah gugur di medan perang. Ketika anak-anak semakin tumbuh dewasa, masing-masing dari mereka memiliki kehidupan dan keluarga sendiri. Tiba-tiba, krisis melanda, dan sudut-sudut tersembunyi perlahan-lahan terungkap, bersama dengan perasaan dan kekhuatiran yang mendalam dan berat yang tersirat disebalik hati seorang ibu. Siapa yang harus bertanggungjawab?

Sebagai sekuel ke-7 dalam siri antologi Face Off, One Wish adalah filem pertama yang sepenuhnya bersandarkan pada genre drama. Syukurlah, sutradara Ly Hai membuktikan bahawa dia bukanlah seorang yang dari asalnya seorang penyanyi bertransformasi menjadi seorang pengarah amatur 'tangkap muat' berdasarkan peningkatan kemajuan yang berterusan. Kali ini dengan plot menyentuh hati, penceritaan efektif, lakonan cemerlang dan keseluruhan sinematografi yang baik, sutradara sukses memuatkan 5 episod cerita berbeza ke dalam durasi 2 jam 20 minit tanpa terasa terlalu panjang atau meleret-leret.

Dengan tema slice of life, 'Face Off 7: One Wish' (FO7OW) adalah sebuah kisah keluarga besar yang setiap seorang darinya mempunyai personaliti berbeza. Namun apa yang pasti, setiap individu tentunya akan sentiasa menyayangi ibu mereka. Filem ini berbicara tentang kasih sayang setiap ahli keluarga, dan ini juga merupakan salah satu ciri indah yang ada pada rakyat Vietnam. Pujian dan kredit harus diberikan kepada sutradara Ly Hai kerana mempamerkan kepada semua orang tentang keindahan landskap dan penduduk di tanahair Viet Namnya. Andai saja Ly Hai membuat kaji selidik efek yang lebih jelas untuk membantu menyempurnakan filemnya, tentu tidak ada sebarang cacat cela yang boleh dikritik.

Sehingga catatan ini ditulis, FO7OW merupakan filem Vietnam kedua dengan kutipan tertinggi sepanjang masa, mengambil lebih daripada $19J sejak tayangannya pada April 2024, V Pictures telah pun mengedarkan filem itu di Malaysia, Taiwan dan Singapura. Industri filem Vietnam telah mengalami pertumbuhan yang ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan lebih banyak produksi berkualiti tinggi dan peningkatan bilangan filem yang berjaya. Secara peribadi, saya rasa filem ini sangat membumi, realistik dan membangkit variasi emosi. Saya sangat menyukai muzik latarnya, saling terhubung dan memberi emfasis jelas tentang derita rasa yang diteroka.

Filem bermula dengan sorotan kisah Puan Hai mencari rezeki dengan menjual bunga di tepi jalan, manakala anak-anaknya semuanya sudah besar, telah berpindah ke daerah lain bersama pasangan masing-masing. Apabila berlaku kemalangan secara tiba-tiba menyebabkan dia tidak boleh banyak bergerak akibat patah kaki dan anak perempuan yang tinggal bersama yang sepatutnya menjaga tidak dapat berbuat demikian kerana berhadapan dengan situasi anaknya sendiri terlantar sakit di hospital, konflik mulai tercetus.

Abang sulung, anak yang paling kaya antara 5 beradik, sentiasa sibuk dengan urusan kerja yang tidak pernah habis. Begitu juga dengan isterinya yang sama gila kerja, mereka perlu menghadapi masalah di tempat kerja dan juga di rumah. Seorang lagi adik lelaki, bekerja sebagai nelayan, kerap hilang di laut, juga mempunyai bapa mertua yang nyanyuk untuk dijaga bersama isterinya. Adik lelaki terakhir sedang sibuk menguruskan pembinaan bangunan, sementelah pula isterinya sedang hamil. Manakala seorang adik perempuan bekerja di ladang, sedang berhadapan dengan musim menuai bersama suaminya, tidak mempunyai masa untuk menjaga ibu mereka.

Disebabkan menemui kebuntuan dan tiada jalan penyelesaian, 5 beradik ini akhirnya memutuskan untuk menjaga ibu mereka selama seminggu di rumah masing-masing, dengan perintah itu diputuskan melalui keputusan seri. Menjelang kehadiran sang ibu di rumah mereka, akhirnya mendedahkan satu persatu situasi sebenar mereka yang disembunyikan selama ini dari pengetahuan ibu mereka.

Meskipun Ly Hai memulakan filem ini dengan kecenderungan ke arah komedi, namun ianya segera masuk semula ke genre drama keluarga. Meneruskan dengan cara yang agak episodik, kunjungan Puan Hai ke setiap keluarga anaknya menambah lebih banyak drama dalam naratif, meski tahapnya tidak persis sama. Episod pertama dengan abang sulung, mungkin yang paling dramatik, kerana walaupun kaya harta, terpaksa menangani masalah yang harus dihadapi di tempat kerja dan ketegangan yang mendasari isteri dan anaknya segera terungkap. Saya benar-benar tersentuh ketika adegan Puan Hai meminta maaf bagi pihak anak sulungnya itu dengan bersungguh-sungguh sehingga saya menangis teresak-esak. Begitulah sikap azali seorang ibu, biarpun bukan salahnya, tetap dia juga yang paling cepat meminta maaf.

Semua episod berkongsi beberapa elemen rutin biasa. Terdapat elemen pemandu pelancong di pelbagai lokasi Vietnam, sama ada di bandar dan luar bandar, yang mungkin bertujuan untuk menyerlahkan keindahan negara. Dari segi visual, aspek ini adalah yang paling mengkagumkan dalam filem ini, dengan persembahan satu siri imej kecantikan yang sangat indah, satu prestasi yang turut mendapat manfaat daripada pewarnaan yang didominasi sephia dan pastel. Setiap episod juga menghadirkan sektor profesional yang berbeza di Vietnam, dengan kelebihan dan kekurangannya masing-masing. Dunia korporat dan lingkungannya, bahaya menangkap ikan di laut dalam, konstruksi pembinaan dan pertanian semuanya dipaparkan dengan cara menambah hiburan dan disajikan secara realistik.

Yang mewujudkan getar di dada adalah apabila sang ibu diperlihatkan selalu menjadi pemangkin atau penyelesai masalah pada setiap isu-isu yang dihadapi oleh anak-anaknya dan keluarga mereka, bukanlah beban seperti yang mereka fikir sebelum ini. Aspek ini diangkat bertujuan demi untuk mempamerkan nilai kekeluargaan dan ketaatan seorang anak. Gabungan yang kaya dengan semua elemen disebutkan berfungsi baik sepanjang filem berlangsung, memanfaatkan sepenuhnya dengan perubahan daripada drama kepada komedi dan sebaliknya dilaksanakan dengan baik. Pada masa yang sama, terdapat saat-saat Ly Hai jatuh ke terumbu sentimental, dengan melodrama terlalu jauh.

Cerita yang sedih tetapi tidaklah membuat saya mengalir airmata sepanjang masa, hanya pada babak yang tertentu saja tanpa sengaja basah kelopak mata. Filem dirakam dengan cantik, kontribusi pelakon yang cemerlang, dan walaupun saya membaca sarikata, saya dapat merasakan bonding dengan emosi dan apa yang diperkatakan. Sebuah kisah indah tentang keluarga. Kita akan lebih menghargai ibu selepas usai menonton. Memberi impak rasa sentimental yang hebat dalam rentak beralun memastikan tetap terikat di kerusi panggung dari awal sehingga akhir. Tema filem yang kuat; kita tidak akan tahu apa yang kita ada sehingga ianya hilang.

Filem 'Face Off 7: One Wish' ini akan buat anda menangis, ketawa dan menangis lagi. Tiada bintang atau efek khas tetapi ia ditulis dan dilakonkan dengan cantik. Apabila anda terpecah antara tanggungjawab peribadi anda kepada keluarga dan pekerjaan anda dan cuba mengimbanginya dengan menjaga ibu bapa yang sakit dan tua, anda akan merasa terkoyak. Filem ini akan merobek hati anda lagi dan lagi. Pada akhirnya, ibu bapa tidak mahu menjadi beban kepada keluarga tetapi mereka adalah nadi setiap keluarga.

Secara keseluruhannya, meski wujud beberapa isu, kebanyakannya berpunca daripada pendekatan arus perdana yang sangat sengit, 'Face Off 7: One Wish' adalah filem yang sangat menghiburkan, sangat bermanfaat, penggambaran dan lakonan yang sangat baik, yang akan menarik minat semua peminat drama keluarga. Rekomendasi tertinggi dari saya jika anda mencari tontonan malam keluarga yang ringan, tetapi jangan lupa sediakan tisu kerana pasti akan membuatkan anda sebak pada penghujungnya. Padat dengan isi bermakna dan sangat menyentuh hati.

Nikmati filem ini bersama keluarga, ibu bapa, datuk dan nenek kerana ianya benar-benar pilihan yang munasabah sesuai untuk seisi keluarga dan semua peringkat umur. Pergi ke pawagam dan rasai kehangatan sinematografi Vietnam melalui 'Face Off 7: One Wish' yang mendamaikan. Tayangan di seluruh pawagam Malaysia bermula pada 31 Oktober 2024.