oleh: zizi hashim
Pada era 90-an, 'Hikayat Sang Kancil' mewarnai kaca televisyen melalui trilogi animasi pendek - 'Sang Kancil & Monyet', 'Sang Kancil & Buaya' dan 'Sang Kancil, Kerbau & Buaya'. Kini, Les' Copaque Production membawa kisah ikonik ini ke layar perak dengan pendekatan revolusioner, menggabungkan animasi 2D dan 3D dalam projek yang mengambil masa satu setengah tahun untuk disiapkan. Pasukan animasi Les' Copaque Production berjaya menciptakan dunia yang penuh warna dan dinamik. Setiap pergerakan watak digarap dengan teliti, manakala panel bergaya manga menambah dimensi visual yang menarik. Keseluruhan persembahan visual yang mengagumkan ini menjadikan filem ini wajib ditonton di pawagam, walaupun kadangkala dibayangi oleh kesan bunyi yang terlalu kuat.
Di bawah pena Hajah Ainon Binti Arif dan Nur Naquyah Binti Burhanuddin, kisah bermula dengan tragedi: Sang Kancil menyaksikan kematian ibunya di tangan bayang hitam misteri. Babak pembuka ini membawa penonton terus ke dalam dunia yang lebih gelap dari versi klasik yang kita kenali. Separuh pertama filem mengembalikan memori dengan menampilkan Kancil menggunakan kepintarannya menghadapi pelbagai situasi. Pertembungan dengan Gajah Belukar yang angkuh dan Raja Buaya serta pengikutnya membawa nostalgia kepada penonton yang membesar dengan versi klasik.
Babak kedua memperkenalkan tema dendam yang mengubah landskap cerita secara dramatik. Kemunculan Harimau Kumbang sebagai antagonis utama membawa filem ke arah yang lebih gelap dan mencabar. Keganasan yang ditampilkan mungkin mengejutkan untuk sesetengah penonton, terutama yang mengharapkan pendekatan lebih ringan. Filem ini merupakan filem animasi tempatan pertama yang menggunakan teknik hibrid 3D dan kesan khas 2D.
Meski usaha untuk membawa kisah tradisional ke era moden patut dipuji, perubahan drastik dalam perwatakan Kancil - dari bijaksana kepada penuntut dendam - menimbulkan persoalan tentang keaslian watak. Keseimbangan antara tradisi dan pemodenan menjadi isu yang ketara. Sebagai filem animasi Malaysia pertama yang menggabungkan 2D dan 3D, 'Dongeng Sang Kancil' menetapkan piawai baharu dalam industri. Keindahan visual dan kelancaran animasi membuktikan kemampuan teknikal pembikin filem tempatan.
Lagu-lagu seperti "Hoo La Hey" dan "Bayang Hitam" bukan sekadar runut bunyi hiasan, tetapi menjadi bahagian penting dalam penceritaan. Setiap lagu diletakkan dengan teliti untuk memperkukuhkan mood dan emosi setiap babak. Apabila kisah klasik bertemu dengan sensibiliti moden, persoalan timbul tentang bagaimana mengekalkan elemen asal sambil membawa pembaharuan. 'Dongeng Sang Kancil' cuba menjawab cabaran ini, walaupun kadangkala tergelincir dalam mencari keseimbangan.
Filem berdurasi 90 minit ini menyaksikan kisah pengembaraan seekor Kancil yang ingin membela kematian ibunya yang dibunuh dengan kejam oleh bayang hitam. Kehadiran Gagak memberi harapan yang hasratnya dapat menjadi kenyataan. Sepanjang pengembaraan Kancil, dia berjumpa 3 binatang pemangsa yang menguasai langit, daratan dan lautan/sungai iaitu Helang Perkasa, Gajah Belukar dan Raja Buaya. Kancil perlu melepasi cabaran setiap pemangsa tersebut. Tambah mencemaskan, Hutan Rimba yang dihuni semua binatang, kini menjadi sasaran seterusnya oleh bayang hitam.
Nini Razali, yang telah menjadi suara Kancil sejak berusia 12 tahun dalam siri 'Pada Zaman Dahulu', kembali memberi nyawa kepada watak ikonik ini. Pengalaman dan kematangannya sebagai pelakon suara membawa dimensi baharu kepada perwatakan Kancil yang kini berhadapan dengan cabaran lebih besar. Penampilan pertama Amir Masdi sebagai pelakon suara karektor Harimau Kumbang mencipta watak antagonis yang menakutkan, manakala Loke Keng Sun sebagai Sang Tupai membawa elemen kehangatan dalam persahabatannya dengan Kancil.
Sementara Kancil mengejar bayang hitam yang telah meragut nyawa ibunya, ancaman yang sama kini menghampiri Hutan Rimba. Bukan sahaja Kancil perlu mencari keadilan untuk ibunya, tetapi dia juga perlu menyelamatkan habitat dan rakan-rakannya. Kemunculan Gagak membawa secercah harapan dalam misi Kancil. Namun, dalam dunia yang penuh dengan muslihat, siapakah sebenarnya yang boleh dipercayai?
'Dongeng Sang Kancil' adalah bukti evolusi industri animasi Malaysia. Meski ada beberapa aspek yang boleh diperhalusi, terutama dari segi keseimbangan ton dan kesetiaan kepada karakter asal, pencapaian teknikalnya tidak boleh dinafikan. Filem ini membuka jalan untuk lebih banyak eksperimentasi dalam industri animasi tempatan. Ia membuktikan bahawa kisah-kisah lama masih boleh diceritakan semula dengan cara yang baharu dan menarik, asalkan dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan pemahaman terhadap nilai-nilai asalnya.
Menjadi satu-satunya filem animasi tempatan yang menemui penonton pada 2024 dan telah ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 26 Disember 2024. Ini adalah masa yang tepat memandangkan cuti sekolah sudah bermula. Jom, apa tunggu lagi...