Deadpool & Wolverine: Filem 5 Bintang Selayaknya

oleh: zizi hashim
 
Kelakar nak mati dari awal sampai akhir! 

Sebagai fanatika Marvel, antisipasi saya terhadap ‘Deadpool & Wolverine’ (D&W) begitu ketara menggunung. Selama beberapa tahun terakhir ini, dengan kebanjiran filem-filem Marvel, adalah sungguh menyegarkan untuk akhirnya memiliki satu filem yang ekstrim menyerlah tahun ini. Anehnya, saya merindukan sinematik Marvel Universe, dan filem ini terasa bagaikan satu reunion yang sangat didambakan.

Dari segi pemasaran, banyak bersandar kepada jenaka bahawa Deadpool adalah ‘Marvel Jesus’, disini bertujuan untuk menyelamatkan francais tersebut, referensi yang banyak dilihat di dalam trailer. Ia bukan sekadar tagline yang bijak; ia adalah filem R-rated pertama di bawah ‘kain rentang’ Disney/Marvel, dan ia telah selayaknya memecahkan rekod Box Office. Tanpa berselindung, ‘Deadpool & Wolverine’ merupakan projek si Ryan Reynolds. Dia bintang utama, ikut sama menulisnya, dan suara komedi uniknya terdengar jelas, meskipun Shawn Levy memimpin sebagai sutradara. Humor Reynolds yang sarkastik/dua makna meresap ke dalam filem, menjadikan ianya pengalaman Deadpool yang klasik.

Hugh Jackman kembali ke posisi ikonik sebagai Wolverine, membawa kontras menarik kepada telatah Reynolds. Kemistri antara mereka bagaikan elektrik, menambah lapisan keseronokan maksima pada D&W. Terkadang saya jadi terfikir apakah mereka berdua bertingkah seperti yang kita lihat di dunia nyata; bentuk hubungan benci tapi sayang terlihat jelas dari keduanya. Love-hate relay itulah kalau menurut saya menjadi jiwa utama yang buat filem ini terasa hidup. Mengukuhkan lagi fakta bahawa Jackman dan Reynolds sememangnya sahabat baik di dunia nyata.

Kelakar pada tahap yang paling gila, menghadirkan tawa tanpa henti. Meski sesetengah pengkritik berpendapat bahawa plotnya lemah dan tidak memiliki kedalaman emosi, aspek ini bukanlah fokus utama filem ini. Sebaliknya, ini semua tentang tingkah laku Reynolds yang kononnya sedar diri dan peduli, lebih tertumpu pada komedi mengenai seorang adiwira. Sukses menghasilkan keseimbangan pembawaan suasana apabila Reynolds sering hadir dengan nuansa bodoh-bodoh alang tapi menyenangkan dan Jackman konsisten dengan nuansa serius signatur Wolverine sepanjang filemnya.

Mengisahkan tentang Deadpool yang bekerjasama dengan Wolverine alam semesta alternatif untuk menghentikan ejen Time Variance Authority (TVA) penyangak yang mengancam garis masanya. Plot berfungsi sebagai framework tipis untuk highlight sebenar: ulasan meta pada penggabungan Disney-Fox. D&W menjadi perpisahan nostalgia kepada filem adiwira era Fox, mengakui bahawa projek X-Men dan Fantastic Four yang akan datang akan di-reboot di bawah payung Disney. Momen paling ketara ialah penggambaran monumen 20th Century Fox yang terkubur hampa – metafora lucu namun sesuai untuk penghujung era.

Sejak ‘Endgame’, kita telah melihat konflik multiverse-nya MCU, terutama digali lebih dalam di siri Loki dengan TVA. Deadpool yang di akhir filem keduanya juga menghadapi masalah dengan perjalanan masa dan multiverse. Ancaman kali ini adalah Deadpool akan hancur sekiranya dia tidak menyelesaikan konfliknya, di sini lah dia memerlukan bantuan Wolverine. 

Tidak perlu pengetahuan ensiklopedia tentang sejarah Marvel untuk menikmati filem ini, namun sudah tentu ianya memberi markah tambah. Begitu banyak sekali cameo di sana sini, antaranya Elektra, Gambit, X-23, Johnny Storm termasuklah penampilan paling menyerlah oleh Wesley Snipes sebagai Blade. Ada jenaka meta yang bijak di mana Deadpool memecahkan dinding ke-4, membayangkan reboot ‘Blade’ yang akan datang, dan satu panggung pecah ketawa.

Performa Jackman sebagai Wolverine, seperti biasa, tetap kuat. Dia memberi perbezaan halus pada karektornya, mengingatkan saya dan penonton bahawa ini bukanlah Wolverine yang sama dari Logan. Melihat dia menyarung kostum komik yang lebih tradisional memberi getar lain macam kepada fanatika X-Men khususnya. 

Kalau menurut saya, salah satu momen paling kelakar dalam D&W ialah ketika Deadpool bercanda tentang Wolverine yang memainkan karektor tersebut sehingga berumur 90 tahun – sebuah senario yang mungkin terjadi berdasarkan tempoh lama Jackman berada dalam posisi watak itu.

D&W menampilkan beberapa babak pertarungan yang sengit, brutal dan vulgar, salah satu highlight-nya adalah pertarungan yang telah lama dinantikan antara Deadpool dan Wolverine. Fanatika telah menunggu bertahun-tahun untuk ini, dan filem ini saya kira  berhasil sukses. Pertempuran klimaks yang menampilkan ‘ribuan’ Deadpool dari pelbagai alam semesta, diiringi lagu latar “Like A Prayer” karya Madonna, sungguh terlalu tidak masuk akal tetapi sangat menghiburkan. Ramai antara penonton di panggung ketika saya menonton, turut bangun teruja, bersorak dan bertepuk tangan. 

Salah satu yang paling saya terkesan dari D&W adalah unsur nostalgia, dan ianya sangat menyenangkan kerana saya tumbuh dengan filem Marvel (terutama Fox) di tahun 2000an. Cameo dan unsur dari filem Marvel yang lama sangat mengimbas memori, ianya turut datang dari muzik dan lagu soundtrack yang diselitkan pada perantaraan babak. Paling gempak adalah pada introduksi yang menggunakan lagu “Bye Bye Bye” dari Nsync, begitu juga ketika lagu “Iris” karya Goo Goo Dolls bergema, bagai meremang bulu roma.

‘Deadpool & Wolverine” adalah permainan penuh gejolak mengasyikkan yang menusuk alam semesta Marvel dengan kecerdasan yang tajam. Samada anda peminat tegar Marvel atau hanya sekadar ingin ketawa, filem ini WAJIB TONTON. 

Kalau tanya saya, inilah filem Marvel selayaknya bertaraf 5 bintang.