Bila Esok Ibu Tiada: Titip Pesan Hargai Setiap Detik Bersama Yang Tersayang

oleh: zizi hashim

Kesunyian, lebih-lebih lagi 'parental loneliness' bukanlah suatu hal yang boleh diremehkan. Pada setiap detik waktu yang berlalu, ada kisah tersembunyi di sebalik kerutan wajah ibu, sebuah memoir yang jarang kita baca, sebuah luka yang jarang kita sentuh. Seberapa dalam kita mengenali ibu kita? Tahukah kita bahawa luka terdalam seorang ibu adalah melihat anak-anaknya bertelingkah? Kita, anak-anak yang tenggelam dalam dunia sendiri, terlupa meluangkan masa untuk mereka yang melahirkan, yang menjadi akar kejayaan kita. Bila cuba membaiki hubungan, kerap kali ia sudah terlambat. Sehelai kenangan yang tercicir, sebutir air mata yang tak sempat dicurahkan. 

'Bila Esok Ibu Tiada' (BEIT) adalah filem yang menikam jiwa, sebuah karya yang mampu mengalirkan air mata, sejujurnya satu tamparan hebat buat saya sendiri. Christine Hakim, bagaikan pemahat perasaan, mengukir watak ibu dengan kelembutan yang menyentuh relung hati. Filem ini bukan sekadar tontonan, ia adalah cermin yang memantulkan kekocakan kita yang sering lupa menghargai kasih ibu, sehingga detik terakhir pun tiba. Ya saya terasa seperti ditampar perit, begitu sinis menempelak saya yang terkadang rasa rimas pada sifat clingy ibu sendiri, yang pada akhirnya bila ibu sudah tiada tercari-cari setiap hari. Kenapa baru sekarang kan? Nah, rasakan, padan muka engkau! 

Diadaptasi dari novel best seller dengan judul yang sama karya Nuy Nagiga oleh sutradara Rudy Soedjarwo, Oka Aurora, dan Adinia Wirasti, saya yang belum membaca novelnya sudah dapat menangkap gagasan cerita asli dan naskah dari filem yang ternyata cukup umum. Tentang ungkapan bahawa seorang ibu mampu menjaga ramai anak, tetapi sebaliknya belum tentu. Filem produksi Leo Pictures ini memang sangat layak mendapatkan jutaan penonton di Indonesia kerana premis kasih sayang seorang ibu yang tak terhingga dapat menarik penonton dari berbagai kalangan dan lintas generasi. Usai menonton pun, masih ada impak yang begitu menyayat hati kerana mempertontonkan bagaimana pedihnya kehilangan ibu tersayang, lebih lagi buat yang pernah melaluinya, seperti saya sendiri sangat  relate dengan BEIT.

Bercerita tentang keluarga Rahmi (Christine Hakim), sebuah harmoni tersimpan di sebalik kepergian Haryo (Slamet Rahardjo), seorang ayah yang meninggalkan kenangan dan kekosongan yang mendalam. Ranika (Adinia Wirasti), anak sulung pewaris harapan keluarga membina empayar perniagaan sendiri dengan ketekunan. Rangga (Fedi Nuril), sang musisi, menggenggam mimpi kontrak rakaman pertamanya. Rania (Amanda Manopo) mengejar lampu spotlight dunia hiburan glamour, sementara Hening (Yasmin Napper) tenggelam dalam dunia seni dan kawan-kawan kuliahnya. 

Mereka berkembang, mengembara dalam laluan masing-masing, tanpa sedar bahawa setiap langkah memisahkan mereka dari Rahmi, ibu yang perlahan-lahan ditinggalkan dalam kesunyian. Setiap anak mempunyai ceritanya sendiri, namun dalam perjalanan itu, mereka terlupa bahawa kisah teragung adalah kisah bersama seorang ibu yang menunggu, yang merindukan, yang mengasihi tanpa syarat. Keharmonian keluarga kini tersimpan dalam kenangan, tersembunyi di sebalik kesibukan masing-masing, menunggu saat untuk disentuh semula.

Meja makan menjadi saksi bisu perjalanan cinta yang terlupakan. Rahmi duduk sendirian di hadapan hidangan melimpah, sebuah metafora nestapa kesunyian yang menusuk kalbu. Anak-anak yang panik, berlumba pulang setelah baru teringat hari ulang tahun ibu, membentuk satu adegan yang membelah jiwa. Mereka datang, namun kedatangan mereka tidak membawa kehangatan yang disangka. Christine Hakim mengukir setiap ekspresi dengan kedalaman yang mampu mencairkan hati setiap penonton. Matanya bercerita tentang kerinduan yang tersimpan, tentang harapan yang belum terungkap. Dialog-dialognya adalah puisi tanpa kata: sabar, lembut, namun menyimpan pedih kehilangan. 

Satu malam dalam setahun, dia hanya merindukan momen kebersamaan yang utuh, sebuah kehangatan yang tidak ternilai. Meja makan itu kini menjadi pengimbas memori di mana setiap hidangan adalah pengakuan rindu, setiap senyuman adalah usaha menyatukan kembali apa yang pernah retak. BEIT merupakan sebuah lukisan kompleks tentang keluarga, di mana setiap karektor membawa kanvas emosi tersendiri. Alur episodik yang dipilih membentangkan kisah personal kelima tokoh dengan depth yang berbeza. Rahmi hadir dengan puisi kerinduan kepada almarhum suami, mencetus kenangan yang tak pernah pudar. 

Plot Ranika menarik perhatian dengan sensitifnya sentuhan tentang stigma wanita bekerjaya, satu tema yang memang memerlukan ruang perbincangan. Namun kekuatan filem ini terletak pada kemampuannya merangkai konflik yang akhirnya membentuk satu jalur utama yang berpusatkan perjalanan peribadi Ranika. Naskhah yang dihasilkan daripada kolaborasi 3 penulis berjaya membentuk satu naratif yang cukup harmoni, meski mempunyai cabang cerita yang begitu begini. Setiap episod bagaikan serpihan kaca yang akhirnya membentuk satu imej utuh tentang keluarga, kerinduan, dan kasih sayang yang tidak sempurna. Tapi namanya juga manusia, jauh dari sifat sempurna.

Seteguh novelnya yang memenangi banyak hati, adaptasi BEIT diantisipasi menghadirkan kehangatan dan emosi yang serupa menerusi layar perak dan membawa harapan untuk memberikan pengalaman sinematik dalam nuansa yang sama. Sarat dengan pesan moral tentang pentingnya menghargai waktu bersama orang yang kita cintai, terutama sekali ibu yang melahirkan, yang cuma ada satu tiada dua, mengajak kita merenung makna kehadirannya dalam hidup kita. Dan seterusnya bila esok ibu sudah tiada, bagaimana caranya untuk mengekalkan harmoni adik-beradik apabila 'gam' yang selama ini menyatu-padukan sudah tiada, maka kita pinjamlah filosofi Kintsugi dengan cara menemukan keindahan dalam ketidaksempurnaan.

Cawan mungkin terlihat pecah, serpihannya berserakan, namun kesempatan untuk mencantumkannya kembali dengan lapisan-lapisan emas menjadi sesuatu yang baru, unik dan kuat. Tidak ada upaya untuk menyembunyikan keretakan, sebaliknya ia justeru ditransformasikan menjadi emas dengan harapan baru, metafora tentang bagaimana kita dapat terus bergerak ke hadapan menjalani hidup. Disitu kekuatan BEIT kalau menurut saya. Rekomendasi tertinggi saya usulkan buat filem ini andai anda suka pada filem yang mempunyai 'jiwa' dan rasa mendalam yang merobek hati dengan sangat pedih (setidaknya bagi saya), memberi rasa kemanusiaan kerana bosan juga kalau asyik-asyik filem seram.

Bicara pula tentang rindu, aduh bagai berkecai seribu pecah hati saya berderai jadinya saat melihat sang ibu menangis meratapi di pusara sang ayah. Sakitnya rindu pada yang telah tiada sememangnya tiada ubat. Dalam islam, rindu adalah sesuatu yang fitrah. Tidak berdosa bila kita merasakan rindu terhadap seseorang yang kita sayangi. Remuk rasa hati melihat ratap hiba Rahmi di pusara suaminya, saya tewas dari tadi menahan airmata. Saya ikut menangis bersama Rahmi sepuasnya, esak tangis yang cuba saya diamkan kerana malu terlihat sesiapa, sedangkan seluruh panggung ikut menangis seiringan. Merah mata tidak dapat disorok lagi. Begitu berkesan dan cemerlang lakonan seorang lagenda sebesar nama Christine Hakim, yang kalau saya jumpa ingin benar saya peluk kuat dirinya.

Sutradara Rudy Soedjarwo sukses mewujudkan kesedihan dalam kehilangan yang sangat menyentuh hati paling terdalam, ditambah lagi dengan kemasan adegan yang halus dan mendayu-dayu. Begitu kuatnya nuansa sedih terasa jauh lebih memorable dari konflik utama yang ingin disampaikan. Persoalan "Apakah anak-anak ibu akan harmoni bila ibu tiada?" mengundang sebak keterlaluan, kerana ibu saya sendiri pernah berkata "Kalau kamu 3 beradik berbaik-baik, hati Mak senang." Lumrah seorang ibu sentiasa memikirkan anak-anak sebagai prioriti hidup sedangkan anak-anak diserbu rasa bersalah "Kita gagal jadi anak yang baik" disebalik semua yang terjadi. 

Sejak akhir-akhir ini banyak juga filem sedih ditayangkan, BEIT salah satu filem terbaik yang menggambarkan dinamika keluarga paling realistik, tidak semuanya indah, jerit pekik pertelingkahan adik-beradik itu biasa dalam keluarga saya. Kasihan Mak, kalau difikirkan boleh jadi murung atas rasa menyesal itu dan ini, tapi harus redha dengan ketentuan Allah dan takdir. Begitu mendalam lapisan-lapisan konflik memberi efek pada setiap karektor lakonan bintang filem papan atas Indonesia yang wajar diberi kredit. Tidak berkesempatan menonton bersama ibu, saya menonton bersama anak lelaki saya, yang justeru melihat saya menangis pantas berbisik ke telinga saya "I love you, Ma!" maka makin deraslah airmata tumpah.

Tayangan di seluruh pawagam Malaysia bermula pada 12 Disember 2024 dengan durasi 1 jam 45 minit. Nasihat saya, jangan lupa bawa tisu kalau ke pawagam nanti, jika tidak basahlah lengan baju...