oleh: zizi hashim
Pertama dan terutama, ini bukanlah filem yang sempurna, tetapi justeru di situlah letak pesonanya. Kalau menurut saya, ada sesuatu yang raw di dalamnya, pilihan yang saya rasa disengajakan oleh para produser, bukannya tidak sengaja. Ia adalah cerita yang sangat straightforward dan mudah dihadam, tetapi tidak bermakna simplisiti mengalahkan mediokriti. Bukan biasa biasa, filem ini berkembang pesat dalam momen-momen sunyi yang penuh kerinduan, satu perasaan yang terus menghantui jauh selepas usai tayangan.
Ayah, pelindung pertama di mata anak perempuan, membekalkan rasa aman sejahtera. Menyaksikan hubungan kuat antara seorang ayah dan anak perempuannya diterjemahkan ke dalam filem, terutama saat filem mengfokuskan betapa aman dan selamat perasaan seorang anak bersama pelindungnya, adalah sangat menyentuh hati. Filem 'Babah' menyelam kisah hubungan ayah dan puteri tercinta, kasih tanpa bersyarat, pengorbanan abadi terukir dalam ingatan yang tak ternilai. Setiap babak, setiap cerita, merangkul kisah cinta mati, merekodkan momen yang tak terlupakan antara ayah dan puterinya bak mutiara.
Saya akui sebaik sahaja selesai menonton 'Babah', saya mengambil masa agak lama untuk mencerna pelbagai emosi yang saya rasakan. Seluruh pawagam yang penuh manusia, sejak dari awal senyap dan diam, wujud antisipasi tenang di kalangan penonton, kerana semua sudah sedia maklum akan dibawa menyaksikan sesuatu yang berat. Alur ceritanya? Solid. Ini adalah kisah menyentuh tentang keluarga, cinta, dan pengorbanan yang berpusat pada ikatan antara seorang ayah dan puterinya. Meski ada beberapa adegan terasa hampir sampai tetapi tidak mendarat sepenuhnya, tetap menyentuh hati dan meninggalkan impak yang lama.
Secara peribadi, anak lelaki tunggal saya sendiri memanggil ayahnya dengan kata nama 'Babah' membuatkan secara auto filem ini terasa dekat. Jalan cerita sedikit perlahan tetapi mendebarkan. Saya sentiasa ternanti-nanti apalagi bakal terjadi dan apalagi yang termampu dilakukan sehabis baik oleh seorang ayah dan seorang anak. Lakonan cemerlang, terutama dari Qi Razali dan Sweet Qismina, sangat luarbiasa, di mana keduanya melabuhkan cerita dengan kedalaman nuansa emosional. Kemistri anak-beranak mereka terasa nyata, menghidupkan naratif dengan cara yang halus, namun kuat. Sebenarnya filem yang simple, yang tak perlu banyak rempah ratusnya tetapi begitu powerful sehingga mampu menggoncang emosi, sehingga tumpah airmata.
Dari segi visual, filem ini tampak hebat. Colour grading yang indah, memberikan cerita suasana hati yang bekerja dengan baik. Sinematografinya, meskipun mungkin tampak tidak sempurna, dibuat dengan indah untuk membangkitkan rasa nostalgia. Runut bunyinya juga merupakan satu lagi titik kukuh, memberi markah tambah berganda. Saya suka semua seleksi runut bunyi yang terpilih kerana benar-benar menetapkan nada emosional, lebih-lebih lagi lagu "Rahasia Tuhan" dan "Lagu Cinta".
Namun dari penyuntingan suara? Tidak begitu banyak. Adegan pertengkaran, khususnya, mengganggu perhatian kerana kedengaran suara pecah. Itu adalah jenis butiran teknikal yang menarik penonton keluar dari momen tersebut. Kalau menurut saya, gaya 'kasar' itu memang disengajakan, memang mahu memperlihatkan nuansa rakaman videocam genggam ala amatur, demi meningkatkan tekstur emosional filem itu. Ini adalah pilihan artistik berani yang membuat pengalaman menonton lebih terasa intim dan realistik.
Meski ada pro-kontra dengan pendapat lain, mengatakan camera shot tidak begitu smooth tapi saya rasa disitulah letak nilai artistiknya. Sementelah lagi untuk membezakan pengalaman menonton filem dan drama TV, dengan jalan cerita yang straightforward, saya rasa perlu ada kelainan dari segi teknikal. Sesuai dengan konsep cinema 'verite' yang ingin ditonjolkan, sukses mendapatkan mood realistik dengan penceritaan yang santai dan bersahaja.
Menyelami perspektif sudut pandang seorang ayah kurang upaya yang sehabis daya mencurahkan kasih sayang tulus murni buat puteri tercintanya, begitu menyentuh hati saya. Qi Razali sebagai ayah sangat luarbiasa. Penampilannya terasa apa adanya dan sangat tulus, terutama dalam cara dia berusaha berkomunikasi dengan puterinya. Meski OKU, sang babah tidak menjadikan itu alasan atau kelemahan, tetap berusaha memberi yang paling terbaik buat keluarga. Dari seorang Arkitek tiba-tiba dibuang kerja sehingga terpaksa menjadi badut upahan sekalipun, tidak mengapa. Menjual insurans di tepi jalan sambil tetap temuduga silih berganti, berhenti merokok, dan akhirnya terpaksa menjual jam tangan kesayangan demi kelangsungan hidup.
Performa Sweet Qismina yang manis juga sama, tak kalah hebat. Begitu menyentuh hati dalam peranannya sebagai anak perempuan, dan keakraban mereka? Sangat indah. Mereka benar-benar membawa beban emosional filem ini. Saya kehilangan ayah ketika berusia 3 tahun, sudah pastinya cemburu melihat momen ayah-anak itu yang sangat menyentuh, yang sangat saya dambakan. Cemburu yang kuat sehingga saya menangis tanpa sedar membuktikan 'Babah' berjaya mencapai sudut emosi paling terdalam.
Adegan bahasa isyarat juga istimewa dalam upaya Qi Razali menggambarkan dengan autentik sangat mengesankan, mengingatkan saya pada karektor Aileen Choo dalam Rain Town, kekuatan yang tenang dalam emosi yang sama. Namun, filem 'Babah' tidaklah terlalu sempurna. Meski ada beberapa adegan yang saya rasa terlalu panjang sehingga menjadikan keseluruhan filem menelan durasi 2 jam 9 minit, saya akur kepada keperluan adegan itu untuk mewujudkan kedalaman emosi dan menarik kebersamaan penonton sepanjang perjalanan hidup ayah-anak ini berlangsung.
Saya tetap terhibur, tidak ada ruang bosan disebabkan dialog yang reflektif dan diselubungi rasa cinta luarbiasa yang pada akhirnya membuatkan saya tidak peduli pada detik minit yang berjalan perlahan kerana terlalu fokus pada hubungan ayah-anak yang telah saya 'kenali' dari awal dan tidak boleh berpatah balik. Paling saya kagum bagaimana Qi Razali membawa karektor seorang ayah, sedangkan dirinya sendiri belum bergelar ayah. Satu cabaran terbesar lagi apabila menjadi pekak dan bisu. Cemerlang! Selain itu, lakonan Cristina Suzanne sebagai Hayati, ibu yang sangat cool, sentiasa ada, sentiasa memahami dan sering memberi ruang adalah potret terbaik peranan seorang ibu dalam kehidupan seharian. Begitu juga watak Ikmal lakonan Adam Lee yang begitu bersahaja wajar diberi thumbs up.
Begitu dekat di hati saya, 'Babah' memberi mesej kuat tentang hubungan mendalam kekeluargaan, bonding kasih sayang dan kemanusiaan. Hubungan ayah-anak yang dieksplorasi dengan indah ini membantu mengangkat naratif ke tingkat yang lebih tinggi. Setiap ayah yang mempunyai anak perempuan pasti akan paling terasa relatif, tepat dan relevan dengan jalan cerita yang dipertontonkan, wajib tonton, percayalah. Sentuhan kasih seorang ayah sememangnya sepanjang masa. Tepuk tangan yang kuat buat filem hebat 'Babah'.
Bermula tayangan di pawagam seluruh Malaysia pada 5 Disember 2024, sehingga hari ini kebanyakan waktu tayangan selling fast, padat crowd dan sold out, jangan ketinggalan saksikan sendiri filem 'Babah'. Banyak adegan suka duka, buat penonton ketawa dan menangis berjemaah. Banyak juga kuota falsafah kehidupan dipetik yang memberi edukasi bermakna dalam menjalani hari-hari mendatang. Jangan lupa bawa tisu, jom tonton 'Babah'!