Algoritma ‘Longlegs’ Terbit Rasa Takut Sambut Harijadi

oleh: zizi hashim 

“Oh! There she is! The almost-birthday girl!”

Ketika mula-mula saya menonton trailer filem ‘Longlegs’, saya merasakan ada sesuatu yang menarik bagaikan magnet. Set tona yang ditetapkan bermain acah-acahmemberitahu audiens semua yang mereka perlu tahu tanpa benar-benar memberitahu apa-apa. Ini baru betul teaser! Kuriositi tercetus dan ia jadi lebih memuncak apabila mendapat tahu filem ini adalah hasil karya Osgood Perkins. Apatah lagi melihat poster filem yang saya kira terlalu simple dengan gambaran yang juga main ‘tarik tali’, nak tunjuk tapi tak mahu, nak beritahu tapi nanti dulu.

Sebelum apa-apa, saya nak beri amaran KERAS, filem ini kalau menurut saya sangat TIDAK sesuai untuk fanatika filem aksi, filem yang plot ceritanya laju dan straight-forward. Ini kerana ‘Longlegs’ adalah filem yang sangat slow-burning, pasti akan membuatkan pecinta filem aksi menjadi bosan dan akhirnya tertidur. Namun buat antusias filem penyiasatan, misteri, pembunuh bersiri, suka banyak plot twist, wajib tonton kerana meskipun ‘lambat terbakar’ filem ini turut diselitkan elemen mistik, seram, kejam, psiko dan supernatural yang unik dari segi penceritaan disokong pula oleh skrip yang kuat. Ada juga pengaruh filem seram klasik era 90-an seperti Se7en (1995), Zødiac (2007) dan The Silence of the Lambs (1991).

Mengisahkan tentang Lee Harker (Maika Monroe) seorang ejen FBI yang diberi tugasan menyiasat tentang pembunuh bersiri berantai yang digelar “Longlegs” (Nicolas Cage). Motif Longlegs membunuh tetap kekal misteri sehingga penonton sendiri bermain dengan teka teki. Kenapa begitu? Kenapa begini? Untuk apa? Sebab apa? Disinilah peranan besar Lee Harker, berbekalkan gerak hati luarbiasa, diharapkan dapat membantu memecahkan kebuntuan kes demi kes rentetan ‘pembunuhan-bunuh diri’ berdekad lamanya membabitkan seorang bapa membunuh isteri dan anak mereka, kemudianya akhirnya membunuh diri sendiri.

Anehnya ada nota dari pembunuh bersiri itu bertandatangan ‘Longlegs’ di setiap tempat kejadian tetapi tiada kesan atau jejak dia berada disitu. Ini kerana pembunuhan dilakukan oleh bapa kepada keluarga masing-masing. Karektor Lee Harker yang tiada emosi dan sedang melalui fasa PTSD (Post Traumatic Syndrome Disorder) membuatkan watak dia adalah penguat kepada jalan cerita ‘Longlegs’ ini. Jujur sepanjang saya menonton filem ini, saya rasa seriau dan agak terganggu. Lee merasakan seperti ada sesuatu yang relevan antara dirinya dengan setiap kes. Ada corak algoritma pemilihan mangsa yang mempunyai satu persamaan iaitu tarikh lahir pada 14 haribulan. Hasil siasatan menemui petanda yang mengesahkan lagi naluri Lee itu.

Durasi 1 jam 41 minit yang ‘senyap’ sering buat rasa meremang ditambah pula dengan transisi visual yang agak eerie dan spooky. Tidak terlalu banyak jumpscare tetapi ada bunyi-bunyian pelik terdengar sayup di latarbelakang. Maika Monroe sukses menghidupkan karektor Lee Harker dengan dimensi trauma dan kecemasan yang deep, membuat penonton ternanti-nanti nasib terakhir dari karektor yang dibawakannya. Saya tidak mahu spoiler, tetapi harus diberitahu pada akhirnya ada satu watak yang tidak disangka-sangka mempunyai hubung-kait dengan semua pembunuhan misteri yang ngeri itu. Namun motif asalnya adalah untuk menyelamatkan Lee.

Kalau tanya saya, babak paling seram ialah ketika 'Longlegs' ditangkap dan kemudiannya menyanyikan lagu “Happy Birthday” yang ditujukan buat Lee Harker. Lagu sambut harijadi yang paling seram pernah saya dengar, dinyanyikan dalam intonasi suara mendayu-dayu bagaikan menangis, sehingga mampu menerbitkan rasa takut dalam diri saya untuk sambut hari jadi. Algoritma menunjukkan sesiapa yang lahir hanya pada tanggal 14 haribulan bakal menjadi mangsa, memberi sedikit lega. 

Saya juga sukakan sinematografi, colour grading dan shots ala-ala 70an yang memang menjadi signatur filem Osgood Perkins selama ini. Anak kepada pelakon veteran filem ikonik ‘Psycho 1960’ iaitu Anthony Perkins membawa watak Norman Bates ini, stail karya Oz Perkins adalah sangat autentik dan aestetik tetapi penuh dengan nuansa gloomy, dark dan moody, sukses membuat saya tak senang duduk sepanjang menonton. Untuk yang gemarkan filem slow-burn, akan mulai rasa teruja setiapkali watak ‘Longlegs’ muncul di skrin.

Semakin misteri berusaha dipecahkan, penonton dibawa ke dalam kengerian fakta bahawa kes ini bukan sekadar pembunuhan. Meski karektor ‘Longlegs’ tidak selalu muncul, namun setiapkali hadir dengan prostetik wajah dan riasan serba putih selalu membangkit rasa ngeri pada yang melihat. Terdapat beberapa babak, ketika dia menjerit di dalam kereta, menghempas kepalanya berkali-kali ke meja, hingga monolog yang emosional, mengingatkan penonton kepada sosok Nicolas Cage yang sempat menjadi nama paling mahal dalam industri filem Hollywood suatu ketika dulu. 

Beberapa watak sampingan lain seperti ejen Carter (Blair Underwood) dan ibu kepada Harker, Ruth (Alicia Witt) juga membawa dinamika karektor yang beragam dalam filem ini. Hal ini mencipta narasi kompleks yang semakin rumit dalam teka-teki ‘Longlegs’ ini. Muzik oleh Zilgi memainkan peranan penting dalam meningkatkan nuansa seram, terutama sekali ketika momen kemunculan ‘Longlegs’.

“I know you are not afraid of a little dark, because you ARE the dark.”

Apakah kaitan Lee dengan kes pembunuhan itu semua? Bagaimana pembunuh bersiri yang menulis nota itu boleh membunuh tanpa perlu berada di tempat kejadian? Dapatkah Lee Harker menyelesaikan tugas untuk menangkap pembunuh bersiri 'Longlegs' yang mengerikan tu? Wajib tonton di pawagam untuk mendapatkan jawapan pada semua persoalan dan tanda-tanya.